Kebenaran Itu Menuntut Dirinya

Muslimat PAS Mahu Tawan Geopolitik, Sasar 30 Peratus Wakil Wanita

BACHOK: Dewan Muslimat PAS memberi isyarat mahu bergerak lebih jauh daripada peranan tradisi sebagai jentera pilihan raya dengan membina kekuatan dalam geopolitik, ekonomi global, undang-undang antarabangsa dan komunikasi rentas sempadan.

Ketuanya, Nuridah Mohd Salleh berkata, penguasaan bidang strategik itu penting bagi memastikan suara wanita Islam dapat disatukan, disusun dan dibawa dengan lebih berpengaruh ketika berhadapan isu antarabangsa.

Menurutnya, penglibatan Muslimat PAS dalam misi kemanusiaan di Palestin, Sudan, Afghanistan dan Yaman telah membuka ruang pembentukan jaringan antarabangsa, selain berjaya menggerakkan dana kebajikan serta bantuan kemanusiaan bernilai jutaan ringgit.

Seruan tersebut membawa mesej jelas bahawa Muslimat PAS tidak mahu kekal sebagai tenaga sokongan politik semata-mata. Pengalaman mengurus gerak kerja pilihan raya kini mahu diterjemahkan kepada keupayaan membentuk pemikiran, dasar dan kepemimpinan pada peringkat lebih tinggi.

Nuridah turut menekankan kecekalan wanita Palestin yang mampu memimpin dalam situasi perang serta membina negara dalam serba keterbatasan sebagai contoh kepada gerakan wanita Islam.

Berdasarkan data yang dikemukakannya, wanita hanya menguasai 27.5 peratus kerusi Parlimen dunia dan 22.4 peratus jawatan menteri Kabinet setakat 1 Januari lalu. Di Malaysia, penguasaan wanita di Dewan Rakyat pula sekitar 13.6 peratus, jauh lebih rendah berbanding Emiriah Arab Bersatu sebanyak 50 peratus dan Senegal 41.2 peratus.

Dewan Muslimat PAS kini menghimpunkan anggota berkelayakan dan berpotensi sebagai persediaan mencapai sasaran minimum 30 peratus perwakilan wanita di Dewan Undangan Negeri, Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Sasaran tersebut bakal menjadi ukuran sejauh mana pengiktirafan terhadap sumbangan Muslimat sebagai jentera pilihan raya dapat diterjemahkan kepada pencalonan, kemenangan dan kedudukan sebenar dalam proses membuat keputusan parti serta negara.

Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Kali Ke-66 di Kompleks Pendidikan Islam Bachok itu dirasmikan Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *