
KANGAR: Kepimpinan PAS Pusat diseru menjadikan penyatuan dengan UMNO sebagai agenda utama bagi memperkukuh kedudukan Islam, kestabilan politik dan kepentingan negara.
Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin berkata, gabungan kekuatan dua parti Melayu Islam itu merupakan antara jalan terbaik untuk menyuburkan perjuangan Islam di Malaysia.
Menurut beliau, kesedaran mengenai kepentingan penyatuan PAS dan UMNO semakin berkembang dan usaha ke arah merealisasikannya perlu diteruskan dengan lebih bersungguh sungguh.
Perpecahan yang berlarutan terlalu lama bukan sahaja menjarakkan kepimpinan kedua dua parti, malah meninggalkan kesan mendalam dalam kalangan penyokong dan masyarakat di peringkat akar umbi.
Hashim berkata, rakyat sudah lama menantikan penyatuan tersebut dan kepimpinan PAS perlu memberikan perhatian serius terhadap usaha merapatkan kembali hubungan dengan UMNO.
Seruan itu hadir ketika Muktamar Tahunan PAS Kali Ke 72 yang berlangsung pada 4 dan 5 September di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan, PUTIK, Pengkalan Chepa dijangka memberikan tumpuan kepada perkembangan hubungan kedua dua parti.
Kesediaan UMNO menghantar wakil ke muktamar berkenaan turut dilihat sebagai isyarat positif dan membuka ruang lebih luas kepada usaha membina persefahaman baharu.
Sebelum ini, Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama kepimpinan UMNO Perlis turut menziarahi Hashim yang sedang menjalani tempoh pemulihan kesihatan.
Hashim bagaimanapun tidak dapat menghadiri muktamar kali ini atas nasihat doktor dan keluarga. Beliau akan mengikuti perjalanan persidangan melalui media sosial.
Menurut Hashim, ketidakhadiran kali ini merupakan yang pertama sejak 1969 kerana beliau tidak pernah ketinggalan menghadiri muktamar PAS sebelum ini.
Ketua Dewan Ulama PAS Perlis, Ahmad Adnan Fadzil pula berpandangan kerjasama PAS dan UMNO berupaya membentuk kekuatan penyatuan Melayu Islam yang lebih kukuh.
Beliau menegaskan, penyatuan tersebut tidak wajar dinilai daripada sudut keuntungan politik semata mata, sebaliknya perlu dilihat dalam kerangka tanggungjawab agama dan kepentingan umat.
Leave a Reply