
KOTA BHARU: Majlis Ulama UMNO mahu kerjasama antara UMNO dan PAS diperkukuh serta dimeterai, selepas sekian lama hubungan kedua-dua parti itu bergerak melalui rundingan dan permuafakatan.
Pengerusinya, Datuk Dusuki Ahmad berkata, penyatuan tersebut penting bagi menghadapi pelbagai masalah dan pertembungan yang dijangka berlaku pada masa akan datang.
“Selama ini kita hanya berunding dan bermuafakat. Kita berharap pada masa akan datang, kerjasama itu dapat dimeterai,” katanya selepas menghadiri Muktamar Dewan Ulama PAS di Kota Bharu.
Menurut beliau, usaha berkenaan tidak seharusnya dilihat semata-mata daripada sudut kepentingan politik UMNO dan PAS, sebaliknya perlu mengambil kira kepentingan umat Islam secara keseluruhan.
Katanya, perubahan dunia yang semakin terbuka menuntut penyatuan umat Islam diberikan perhatian lebih serius bagi menghadapi cabaran mendatang.
Beliau menyifatkan usaha penyatuan yang sedang dilakukan sebagai suatu ijtihad yang baik serta wajar didoakan agar berjaya dan mendapat keberkatan Allah.
Dusuki turut berharap kepimpinan kedua-dua parti menjadikan usaha memperkukuh kerjasama tersebut sebagai satu keutamaan supaya penyatuan yang sedang dibina dapat diteruskan.
Leave a Reply