
Ulama yang memilih untuk bersama pemerintah dituntut lebih bersedia menerima kritikan kerana berada pada posisi paling sensitif dalam sejarah umat. Jiwa besar juga perlu ada pada semua pihak termasuk anak murid dan ahli keluarga, kerana kritikan balas merupakan sebahagian daripada ruang awam yang tidak dapat dielakkan.
Imam Abu Hanifah meninggal di dalam tahanan, Imam Malik dihukum penjara, Imam Syafie dirantai kedua tangan dan kakinya, Imam Ahmad bin Hanbal dipenjara serta disebat dan Ibnu Taimiyah dihumban ke penjara bersama muridnya Ibnu Qayyim kerana mempertahankan prinsip. Sejarah membuktikan para ulama terdahulu diuji dengan tekanan yang jauh lebih besar.
Almarhum Tok Guru Nik Abdul Aziz dan Tok Guru Haji Hadi Awang turut berdepan fitnah serta tekanan politik yang berpanjangan. Ulama haraki seperti almarhum Pak Nik Lah, almarhum Tuan Guru Haji Yaakub Berangan, almarhum Ustaz Fadzil Noor dan Ustaz Hashim Jasin juga pernah melalui penahanan ISA. Jika dibandingkan dengan ujian mereka, polemik hari ini masih terlalu kecil untuk melemahkan semangat dakwah dan perjuangan.
Pendirian menyatakan sokongan kepada pemerintah yang diperkenan Agong merupakan prinsip menghormati institusi pemerintahan, sebagaimana di negeri ini kepimpinan ulama yang membangun bersama Islam juga diperkenan Sultan. Kedudukan paling berbahaya bagi seorang alim ialah apabila ilmunya menjadi pelindung kepada kesilapan pemerintah, sedangkan Islam tidak menolak kehadiran ulama di sisi pemerintah jika tujuannya untuk menasihati, menegur dan membetulkan.
Justeru, polemik ini wajar dilihat sebagai peringatan tentang pentingnya kebesaran jiwa, kesabaran dan hikmah dalam mengemudi perbezaan pandangan, kerana kebijaksanaan membaca suasana politik dan emosi masyarakat merupakan sebahagian daripada amanah keilmuan yang besar.
Leave a Reply