Kebenaran Itu Menuntut Dirinya

Syam Ghaz Dipersoal Gelaran Lanun Dalam Polis Jejas Keyakinan Rakyat

Penggunaan istilah “lanun” oleh seorang pegawai lantikan politik di bawah Kementerian Dalam Negeri menimbulkan persoalan serius berkaitan etika bahasa dan kesannya terhadap keyakinan rakyat.

Menurut takrif Dewan Bahasa dan Pustaka, perkataan “lanun” membawa maksud perompak laut, penjahat dan penjenayah. Ia merupakan istilah jenayah yang berat dan jelas berkonotasi negatif. Justeru, penggunaannya dalam frasa “berasap la ‘lanun’ dalam polis!” oleh Mohd Hisyamuddin bin Ghazali atau Syam Ghaz selaku Pegawai Tugas Tugas Khas II KDN dilihat tidak sesuai, walaupun merujuk kepada kes salah laku seorang anggota polis.

Laporan media mengesahkan bahawa kes berkenaan telah melalui siasatan dan tindakan mengikut peruntukan undang undang serta prosedur dalaman. Hal ini menunjukkan mekanisme disiplin dalam Polis Diraja Malaysia berfungsi dan tidak berlaku pembiaran.

Namun, isu yang dipersoalkan ialah implikasi bahasa yang digunakan. Frasa tersebut membawa gambaran seolah olah wujud lebih ramai penjenayah dalam pasukan polis, sekali gus mencetuskan persepsi negatif terhadap institusi keselamatan. Walaupun tidak menyebut keseluruhan agensi secara langsung, pengaitan istilah jenayah dengan perkataan “polis” tetap memberi kesan besar kepada persepsi awam.

Sebagai pegawai lantikan politik dalam struktur kerajaan, penggunaan bahasa seharusnya lebih berdisiplin dan berhemah. Kritikan terhadap salah laku individu wajar disampaikan secara tepat dan berfakta tanpa menjejaskan martabat institusi yang menjadi tunjang keselamatan negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *