Kebenaran Itu Menuntut Dirinya

Tiga Tahun Berturut MMP Genggam Gelaran Pelajar Terbaik Kelantan

KOTA BHARU, 26 Jun 2025 – Sejarah manis sekali lagi tercipta apabila Maahad Muhammadi Perempuan (MMP) mengekalkan penguasaan sebagai institusi melahirkan pelajar terbaik keseluruhan Yayasan Islam Kelantan (YIK) bagi tahun ketiga berturut-turut, menerusi kejayaan cemerlang Nurul Husna binti Muhammad Afif.

Beliau yang juga seorang dhabitah atau pengawas sekolah, mengetepikan persaingan daripada 5,278 calon lain apabila diumumkan sebagai penerima anugerah Pelajar Terbaik Keseluruhan YIK bagi Peperiksaan SMU Tahun 2024. Nurul Husna menerima keputusan rasmi peperiksaannya dalam suasana penuh emosi di Dewan Asma’, diiringi bapanya.

Pengumuman tersebut disampaikan oleh Penolong Kanan Pentadbiran MMP, Nik Erman Dato’ Paduka Nik Mustapha dalam satu majlis rasmi yang turut dihadiri para guru, ibu bapa serta pelajar. 

Sementara itu, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan, Dato’ Hj Wan Roslan Wan Hamat turut mengumumkan keputusan keseluruhan yang menunjukkan peningkatan membanggakan dalam prestasi pelajar-pelajar institusi bawah seliaan YIK.

Menurut beliau, Maahad Tahfiz Al Quran Darul Saadah Lilbanat dinobatkan sebagai Sekolah Terbaik bagi tahun ini, diikuti rapat oleh Maahad Sains Tok Guru dan Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Giraat Pulai Chondong.

Dalam pada itu, seorang lagi pelajar cemerlang, Irfan Zuhdi bin Noor Hisham dari Maahad Sains Tok Guru, turut mencuri tumpuan apabila diumumkan sebagai Pelajar Terbaik Kategori Maahad Kawalan, mengukuhkan lagi reputasi institusi tersebut sebagai lubuk kecemerlangan pendidikan Islam bersepadu.

Kejayaan pelajar-pelajar ini sekali gus mencerminkan keutuhan sistem pendidikan YIK yang menggabungkan keilmuan duniawi dan ukhrawi dalam membentuk generasi rabbani yang mampu memimpin ummah pada masa hadapan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *