
KUALA LUMPUR, 13 Jun 2025 – PAS dikatakan sedang mendesak satu rombakan struktur besar dalam Perikatan Nasional (PN) bagi memberi kuasa lebih luas kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, sekaligus mengangkat beliau sebagai calon Perdana Menteri bagi gabungan itu menjelang Pilihan Raya Umum akan datang.
Sumber dalaman mendedahkan, rombakan itu termasuk penubuhan sebuah jawatankuasa eksekutif baharu yang akan diketuai oleh Hamzah sendiri untuk menguruskan hal-hal operasi PN. Dalam masa yang sama, presiden parti-parti komponen seperti PAS, Bersatu, Gerakan, dan Parti India Muslim Malaysia akan terus kekal dalam Majlis Tertinggi sedia ada.
Langkah ini menandakan PAS secara prinsipnya menolak untuk merebut jawatan Perdana Menteri. Seorang pemimpin Bersatu mendedahkan, PAS percaya bahawa kepimpinan gerakan Islam di peringkat tertinggi akan mengundang serangan dari pelbagai penjuru, justeru lebih selesa memainkan peranan menyokong dari belakang.
Difahamkan, cadangan tersebut telah dibincangkan dalam mesyuarat tertutup PN pada 18 Februari lalu di Kuala Lumpur yang dipengerusikan oleh Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan disertai oleh Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man serta lima pemimpin utama Bersatu yang diketuai oleh Naib Presiden, Datuk Radzi Jidin.
Namun begitu, cadangan ini kini berdepan tentangan dalaman, khususnya dari kumpulan yang cenderung kepada Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Azmin Ali. Faksi ini lebih menyokong penubuhan Majlis Sekretariat PN yang diterajui oleh Azmin sendiri, berbanding memberi laluan kepada Hamzah.
Isyarat rombakan telahpun disebut secara terbuka oleh Tuan Ibrahim pada 10 April lalu, sebagai sebahagian daripada ‘penyegaran kepimpinan’ selepas peletakan jawatan mendadak Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai bendahari agung PN. Keputusan mengejut itu berlaku sehari selepas Azmin dilantik sebagai setiausaha agung baru PN, sekali gus mengenepikan cadangan Dewan Pemuda PAS untuk mengangkat Datuk Takiyuddin Hassan ke jawatan tersebut.
Bagaimanapun, Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz dari kem Azmin menafikan wujudnya cadangan rasmi rombakan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada Februari lalu, namun mengakui perbincangan ke arah penyusunan semula tetap berlaku secara berterusan dalam pelbagai bentuk.
Leave a Reply