
Penggunaan teknologi kecerdasan buatan seperti ChatGPT dalam membantu wakil-wakil rakyat menghasilkan penulisan media sosial mendapat sokongan penuh daripada Ketua Jabatan IT Pengkalan Chepa.
Menurut beliau, pendekatan tersebut adalah langkah positif dan harus digalakkan. Apa yang penting ialah memastikan bahawa hasil akhir penulisan disemak dengan teliti. “Idea tetap datang daripada YB sendiri. ChatGPT hanya menjadi alat untuk mempercepatkan dan melancarkan penyampaian. Ia satu kemudahan yang sangat baik,” katanya.
Beliau turut menegaskan beberapa perkara yang perlu diberi perhatian agar penulisan wakil rakyat tidak kelihatan seperti sepenuhnya dihasilkan oleh kecerdasan buatan. Antaranya ialah pemilihan tajuk yang mesti bebas daripada petunjuk awal tulisan itu merupakan hasil AI seperti penggunaan noktah bertindih di tengahnya.
Selain itu, beliau mengingatkan agar tanda hyphen (-) atau tanda sangkang tidak digunakan secara berlebihan atau sebolehnya elakkan terus, kerana ia juga menjadi ciri tipikal gaya tulisan ChatGPT.
“Gaya tulisan perlu disesuaikan dengan latar belakang dan keperibadian penulis itu sendiri. Gunakan ciri “Project” dan ruang “Instructions” khas yang disediakan untuk penulisan berterusan yang berfokus. Jika sebelum ini seseorang tidak biasa menulis dengan gaya tertentu di media sosial, jangan terlalu ketara berubah kerana itu boleh menimbulkan rasa janggal kepada pengikut,” tambah beliau.
Ulasan ini bukanlah bertujuan mengkritik, sebaliknya untuk memperkemaskan lagi penggunaan alat berteknologi tinggi ini dalam kerja-kerja penerangan dan penyampaian maklumat. Setakat ini, ChatGPT dinilai sebagai antara perisian terbaik dalam kategori penulisan, mengatasi AI lain yang mungkin lebih sesuai untuk tugasan bidang berlainan.
“Gunalah ChatGPT. Yang penting, semak berkali-kali dan sesuaikan dengan diri kita sendiri,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, penggunaan ChatGPT bukan sahaja melibatkan ahli politik, malah turut meluas dalam kalangan alim ulamak, pensyarah, dan profesional lain. “Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa alim ulamak dan pensyarah sendiri menggunakan ChatGPT untuk memudahkan carian dan mempercepatkan akses kepada maklumat. Namun, dengan ketinggian ilmu mereka, mereka mampu menapis dan mengenalpasti jika terdapat sebarang kesilapan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa dalam bidang perubatan, penggunaan AI seperti ChatGPT bukanlah sesuatu yang asing. Doktor-doktor mungkin menggunakannya untuk memudahkan urusan diagnosis, menyusun senarai ubat-ubatan, dan membuat rujukan pantas. Namun begitu, keputusan muktamad tetap bergantung kepada pertimbangan ilmu dan kepakaran sebenar.
“AI adalah alat untuk memudahkan, bukan menentukan. Yang menjadi penimbang akhirnya ialah ilmu dan kebijaksanaan manusia sendiri,” tegas beliau.
Ulasan ini dilihat sebagai satu dorongan untuk wakil rakyat lebih berani mengadaptasi teknologi baharu dengan bijaksana, demi mempertingkatkan mutu penyampaian kepada rakyat.
Leave a Reply