Kebenaran Itu Menuntut Dirinya

Satu Demi Satu Tumbang. Kem Rafizi Kian Hilang Taring dalam PKR

Foto: Akmal Nasir

JOHOR BAHRU – Kem Rafizi Ramli terus menerima tamparan hebat apabila seorang lagi orang kuatnya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, tewas dalam pemilihan cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi sesi 2024. Akmal, yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru merangkap Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, gagal mempertahankan jawatan Ketua Cabang Johor Bahru selepas hanya memperoleh 587 undi berbanding pencabarnya, Taufiq Ismail yang meraih 709 undi.

Taufiq, bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor Bahru, mencipta kejutan sekaligus menamatkan cengkaman politik Akmal di kubu kuatnya sendiri. Kekalahan ini hadir hanya sehari selepas satu lagi figura penting kem Rafizi, Nik Nazmi Nik Ahmad – Naib Presiden PKR merangkap Ahli Parlimen Setiawangsa – turut tersungkur dalam pertandingan cabang di kawasan beliau sendiri.

Setakat ini, rentetan kekalahan kem Rafizi menyaksikan beberapa nama besar turut kecundang termasuk Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail; Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung; dan ADUN Pantai Jerejak, Fahmi Zainol. Kesemua mereka merupakan calon utama dalam pemilihan pusat PKR pada 2022.

Bagaimanapun, masih terdapat beberapa nama yang kekal bertahan. Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun, dan Ahli Parlimen Tanjong Malim, Chang Lih Kang, masing-masing berjaya mempertahankan kedudukan mereka, manakala Rafizi Ramli sendiri menang tanpa bertanding di cabang Pandan.

Sungguhpun begitu, kredibiliti keseluruhan proses pemilihan mula dicabar oleh akar umbi. Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dijadualkan bermesyuarat Rabu ini untuk membincangkan dakwaan mengenai ketelusan dan integriti proses pemilihan yang didakwa menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan ahli.

Di Johor, perkembangan pemilihan terus mencuri tumpuan apabila bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, kekal sebagai Ketua Cabang Simpang Renggam biarpun hanya memperoleh sekitar 40 peratus undi dalam pertembungan tiga penjuru. Di Tebrau, calon luar jangkaan, M Prakash, menewaskan dua penyandang terkenal – R Yuneswaran (Segamat) dan Jimmy Puah (Tebrau) – dengan hanya 37.5 peratus undi, mengesahkan landskap baru politik dalaman PKR Johor.

Sementara itu, Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh, merupakan antara segelintir yang berjaya mengekalkan jawatan tanpa bertanding.

Gelombang penolakan terhadap kem Rafizi, yang suatu ketika dahulu dianggap reformis utama dalam PKR, mencerminkan kemelut dalaman yang kian membesar. Dengan kejatuhan satu demi satu tokoh pentingnya, masa depan hala tuju politik kumpulan ini kini menjadi tanda tanya besar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *