Kebenaran Itu Menuntut Dirinya

Skandal Dua Alam: Menteri Madani Didakwa Masih Pengarah Syarikat Negeri

KUALA LUMPUR, 5 April – Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sekali lagi berdepan dengan dakwaan serius membabitkan seorang menterinya, Armizan Mohd Ali, yang kini disiasat kerana didakwa masih memegang jawatan sebagai pengarah dalam syarikat milik kerajaan negeri Sabah ketika menjawat jawatan dalam kabinet persekutuan.

Dakwaan yang menggemparkan itu dibuat oleh aktivis politik Tandiko Dalusin yang memohon siasatan dijalankan terhadap pelanggaran Perkara 48(1)(c) Perlembagaan Persekutuan yang melarang mana-mana Ahli Parlimen daripada memegang jawatan berpendapatan. Sekaligus, ia mencetuskan persoalan besar tentang integriti dan ketelusan pentadbiran Madani yang sering melaungkan prinsip tatakelola baik.

Lebih parah, pengesahan sendiri oleh Armizan bahawa beliau hadir dalam satu mesyuarat rasmi antara Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) dan syarikat Indonesia atas kapasiti sebagai ahli lembaga pengarah SMM membuktikan kewujudan penglibatan langsungnya dalam syarikat berkenaan.

Timbalan Setiausaha Agung GRS itu turut dikaitkan dengan rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia yang menunjukkan beliau masih memegang jawatan sebagai pengarah Common Tower Technology Sdn Bhd sejak Februari tahun lalu. Tindakan itu ditafsirkan sebagai bercanggah dengan Kod Etika Ahli Parlimen dan membuka ruang kepada konflik kepentingan.

Kritikan keras turut datang dari Ketua Pemuda Bersatu Sabah, Hisyam Hazaril Azman yang menyifatkan kedudukan Armizan dalam dua entiti berkepentingan menunjukkan pelanggaran jelas terhadap prinsip pemisahan kuasa yang wajib dijaga oleh seorang anggota kabinet persekutuan. Dalam pada itu, Ahli Majlis Tertinggi Warisan, Calvin Chong, membidas cubaan Armizan yang didakwa berusaha mengalihkan tumpuan daripada isu sebenar – iaitu skandal perlombongan dan rasuah yang sedang membelit kerajaan Sabah.

Dakwaan terhadap Armizan bukanlah yang pertama mencalar imej pentadbiran negeri tersebut. Sejak penghujung tahun lalu, lapan orang ADUN termasuk Ketua Menteri Hajiji Noor telah dikaitkan dengan siri klip video yang didedahkan seorang pemberi maklumat. Klip-klip tersebut memperlihatkan perbincangan menyentuh pemberian sogokan sebagai balasan menyokong kelulusan lesen penerokaan mineral, satu pendedahan yang cukup menggoncang kepercayaan rakyat terhadap pentadbiran Sabah.

Dalam keadaan ini, persoalan besar timbul: adakah Kerajaan Madani sanggup berdiam diri atas nama prinsip “tidak bersalah sehingga dibuktikan” atau berani menegakkan undang-undang secara adil dan telus tanpa memilih bulu?

Tatkala slogan-slogan reformasi dan integriti dijulang saban hari, kes seperti ini membongkar wajah sebenar sebuah pentadbiran yang semakin hilang arah. Rakyat menunggu, bukan sekadar penafian dan kenyataan kosong, tetapi tindakan tegas dan telus terhadap mana-mana pemimpin yang menyalahgunakan kedudukan demi kepentingan peribadi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *