
KUALA TERENGGANU – Exco Kerajaan Negeri Terengganu, Dr. Azman Ibrahim dalam penulisan terbaharunya terus mengupas isu yang lebih dalam dengan menyentuh sumbangan besar Terengganu kepada negara. Beliau menekankan bahawa gas asli dari Terengganu menjadi tulang belakang tenaga di Semenanjung Malaysia, hikmah di sebalik letupan gas di Putera Heights yang menjadi isyarat jelas tentang betapa bergantungnya negara kepada sumber tenaga dari negeri Pantai Timur itu.
Selain gas, Terengganu juga menurut beliau telah ‘mengorbankan’ buminya demi empangan hidroelektrik Tasik Kenyir yang membekalkan tenaga elektrik kepada negara.
Beliau juga menegaskan bahawa syarikat petroleum negara, Petronas, mempunyai sokongan penuh dari rakyat dalam isu royalti kerana Petronas telah menunaikan tanggungjawabnya membayar royalti 5% kepada Kementerian Kewangan. Namun yang gagal menyalurkan dana itu kepada negeri adalah Putrajaya, bukan Petronas. Rakyat juga berada di sebelah Petronas dalam tragedi letupan di Putra Heights.
Terdahulu, Dr. Azman Ibrahim tampil mengkritik tindakan Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, yang didakwa memalukan negeri itu dalam isu bonus Aidilfitri kepada penjawat awam.
Tindakan luar tabii Kerajaan Madani yang mengumumkan pemberian bantuan tersebut bagi pihak kerajaan negeri, tanpa melibatkan kenyataan rasmi daripada Menteri Besar sendiri, menimbulkan kegelisahan pelbagai pihak dan penganalisis politik. Ia mencetuskan persoalan tentang kefahaman sebenar Putrajaya terhadap prinsip federalisme serta hubungan antara negeri dan pusat yang sepatutnya berteraskan hormat-menghormati bidang kuasa.
Kenyataan Dr. Azman mendapat pujian ramai yang melihat beliau sebagai suara berani dalam membela hak negeri, pada masa yang sama mengekalkan pendirian konstruktif dengan tidak menyerang secara melulu.
Dalam satu temuramah berasingan bersama seorang tokoh lama politik Kelantan yang enggan namanya didedahkan, beliau menyuarakan kebimbangan terhadap pendekatan Kerajaan Negeri Kelantan hari ini yang disifatkan terlalu lembut, terlalu menjaga hubungan dengan Kerajaan Persekutuan dan seolah-olah hilang semangat lantang yang pernah menjadi lambang kepimpinan era Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.
“Zaman Tok Guru dulu, hormat tetap hormat, tapi suara tetap lantang. Tok Guru sangat jelas dan tegas dalam isu royalti minyak, isu diskriminasi terhadap negeri miskin, isu pembangunan yang tidak seimbang. Tapi sekarang? Sunyi… Seolah-olah kita tidak lagi berani bersuara,” ujar beliau dalam nada kecewa.
Menurutnya, pendekatan Kelantan yang terlalu berhemah dan tidak menyatakan pendirian secara terbuka dalam isu-isu nasional yang melibatkan hak negeri, termasuk isu royalti dan pembangunan, hanya melemahkan kedudukan politik negeri sendiri di mata rakyat. Seolah-olah sudah berpuas hati apabila keperluan asas seperti pembayaran gaji penjawat awam diselesaikan, dana untuk Majlis Agama Islam Kelantan disalurkan, bantuan kepada pondok dan sekolah agama diluluskan, serta sedikit solekan pada pasar.
Beliau turut menjadikan keberanian Dr. Azman Ibrahim, Exco Kerajaan Terengganu, sebagai contoh terbaik bagaimana seorang pemimpin negeri boleh menegur Putrajaya secara terbuka tanpa perlu menjadi biadab. “Dr. Azman berani, tapi masih beradab. Beliau tidak memusuhi sesiapa, tetapi tetap pertahankan hak negeri. Kelantan perlu belajar dari situ.”
Tambah beliau, Kelantan tidak boleh terus berada dalam zon selesa kerana negeri ini juga merupakan antara penyumbang utama kepada pembangunan negara terutama dari segi sumber manusia.
“Ramai yang sindir kononnya orang Kelantan merantau sebab tak ada kerja. Tapi hakikatnya, industri di luar Kelantan bertahan kerana kehadiran tenaga kerja mahir, rajin dan beragama dari Kelantan. Di hospital, di sekolah, di pejabat, di kilang, orang Kelantan ada di mana-mana. Ini bukti kita penting.”
Beliau menyatakan bahawa sentimen rakyat juga sudah berubah. “Netizen pun dah mula bersuara. Ramai yang persoal kenapa Kelantan diam sangat, sedangkan isu berkaitan negeri makin banyak. Rakyat sekarang bijak, mereka mahu pemimpin yang berani.”
Leave a Reply