
NEW YORK, 4 April – Syarikat gergasi teknologi Apple mengalami kehilangan nilai pasaran lebih AS$250 bilion (sekitar RM1.18 trilion) apabila sahamnya menjunam sehingga 8.5 peratus berikutan pengumuman tarif besar-besaran oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. Kejatuhan ini menjadikan Apple antara syarikat yang paling terjejas dalam dagangan Wall Street hari ini.
Pasaran saham turut menyaksikan kemerosotan ketara dalam kalangan syarikat teknologi lain. Tesla, Nvidia, dan Meta masing-masing merosot sebanyak 6 peratus, manakala saham Amazon menyusut 7.2 peratus.
Tarif baru yang diumumkan semalam oleh Presiden Trump akan berkuat kuasa mulai 5 April dan melibatkan kenaikan cukai sekurang-kurangnya 10 peratus terhadap semua negara, dengan kadar lebih tinggi dikenakan terhadap negara-negara tertentu. Tarif ke atas China dilaporkan melonjak ke paras mengejutkan 54 peratus.
Penganalisis Wedbush Securities menyifatkan tindakan tarif ini sebagai lebih buruk daripada “senario paling buruk” yang dibayangkan oleh pelabur teknologi. Langkah tersebut dilihat bukan sekadar strategi rundingan, sebaliknya satu pendekatan agresif oleh Rumah Putih untuk memaksa peningkatan pengeluaran domestik. Trump mendakwa langkah ini akan “membebaskan” ekonomi Amerika daripada kebergantungan luar.
Bagi Apple, impaknya sangat besar kerana hampir kesemua rantaian bekalannya berpusat di Asia termasuk China, Taiwan, India dan Vietnam. Ini bermakna setiap unit iPhone, iPad, Mac, dan aksesori akan terkena kesan langsung.
Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook kini berdepan dilema besar, sama ada memindahkan beban kos kepada pengguna dengan menaikkan harga produk atau menanggung kerugian besar, yang boleh menghapuskan puluhan bilion keuntungan tahunan syarikat.
Leave a Reply