
KUALA LUMPUR – Seruan semakin lantang agar Kerajaan Persekutuan berlaku adil terhadap negeri-negeri Pantai Timur, khususnya Terengganu dan Kelantan, yang terus menanti limpahan pembangunan setara seperti negeri-negeri di Pantai Barat.
Gas asli yang disalurkan melalui Projek PGU (Peninsular Gas Utilisation) sejak era 1980-an berasal dari perairan Terengganu, namun negeri itu hanya menyaksikan limpahan terhad berbanding wilayah penerima seperti Selangor dan Wilayah Persekutuan. Kini timbul persoalan, mengapa LRT pertama diberikan kepada negeri lain, sedang Terengganu adalah ‘tuan tanah’ kepada salah satu sumber tenaga utama negara?
Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) juga dibina dengan peruntukan awal ditanggung oleh kerajaan negeri Terengganu sendiri. Timbul harapan agar dana tersebut telah dipulangkan oleh Kerajaan Persekutuan, sejajar dengan prinsip keadilan fiskal antara negeri dan pusat. Namun, lebih membimbangkan adalah keengganan kerajaan pusat memulakan projek Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3), yang bakal menghubungkan Gemuroh, Kuala Terengganu ke Tumpat, Kelantan.
LPT3 bukan sahaja melengkapkan rangkaian lebuh raya, bahkan membuka laluan ekonomi pantas ke zon sempadan Malaysia-Thailand yang berpotensi tinggi. Kelewatan ini menambah jurang ketidakseimbangan ekonomi antara wilayah, yang turut dirasai oleh Sabah dan Sarawak.
Dalam nada tegas, kritikan turut ditujukan kepada sikap selektif sesetengah pihak yang gemar memainkan isu pembangunan mengikut kepentingan politik dan bukannya berdasarkan data dan keperluan sebenar. Sindiran juga dilemparkan kepada kelompok ‘cytro’ atau tentera siber upahan yang menyebar maklumat separuh masak semata-mata untuk menyerang watak politik lawan.
Seruan turut dibuat agar Kelantan diberikan kemudahan pendaratan gas sendiri yang setaraf dengan Kerteh, Terengganu. Tok Bali Supply Base perlu dinaik taraf atau diganti dengan lokasi strategik seperti Tumpat, memandangkan sumber gas berkenaan berasal dari perairan Kelantan juga.
“Negara tidak akan maju dengan politik dendam dan pendekatan binari sempit. Demokrasi mesti disuburkan dengan menghormati pilihan rakyat, bukan menghukum melalui pengagihan pembangunan,” tegas kenyataan itu.
Kejayaan projek-projek besar seperti Pelabuhan Klang dan Butterworth dikaitkan terus dengan lonjakan KDNK negeri-negeri tersebut, membuktikan bahawa infrastruktur memainkan peranan kritikal dalam pertumbuhan ekonomi wilayah.
Kritikan terhadap sikap ‘sembang kari’ segelintir ahli politik turut disuarakan melalui rujukan kepada jurutera veteran, Fuad Omar, yang pernah terlibat dalam pembinaan PGU sejak awal. Pengalaman dan kepakaran generasi terdahulu seharusnya dijadikan panduan, bukan dipermainkan oleh retorik kosong.
Malaysia hanya akan benar-benar harmoni apabila prinsip federalisme dihormati, bukan diperalat mengikut kesetiaan politik.
Leave a Reply