
GEORGE TOWN, 27 Mac 2025 – Ketika isu panas penahanan seorang ahli perniagaan bergelar ‘Tan Sri’ menggemparkan dunia korporat Pulau Pinang, Ketua Menteri Chow Kon Yeow dilihat mengambil pendekatan defensif dengan menolak sebarang kaitan secara langsung. Dalam satu sidang media, beliau menegaskan, “Saya rasa anda patut tanya pihak polis, bukan saya.”
Beliau turut menyatakan bahawa sebarang persoalan berkaitan hubungan ‘Tan Sri’ tersebut dengan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) wajar diajukan kepada agensi berkenaan, walaupun beliau sendiri merupakan pengerusi PDC. “Hanya kerana saya pengerusi, tidak bermakna saya tahu semua perkara,” ujarnya.
Individu bergelar ‘Tan Sri’ itu dipercayai menerima beberapa projek utama infrastruktur daripada kerajaan negeri, menyebabkan timbul persoalan serius berkenaan ketelusan serta integriti proses penganugerahan kontrak. Malah, kejutannya bertambah apabila beliau dikaitkan dengan sindiket pengubahan wang haram bernilai berbilion ringgit, dipercayai berkaitan dengan kumpulan Mobility Beyond Imagination (MBI) yang diketuai oleh Tedy Teow Wooi Huat.
Tedy Teow, figura kontroversi yang pernah menguasai kawasan komersial utama di George Town dan Kulim, telah dihantar pulang dari Thailand ke China tahun lalu bagi membantu siasatan berhubung penipuan skim piramid yang dipercayai melibatkan ramai pelabur dari China. Tindak balas pantas pihak berkuasa tempatan yang menahan beberapa individu dari Pulau Pinang, Kedah dan Kuala Lumpur dipercayai hasil kerjasama terus dengan pihak berkuasa China.
Namun, apa yang lebih menghairankan ialah reaksi pucat pembangkang terhadap pendedahan ini. Dalam keadaan yang sepatutnya digunakan untuk membongkar isu salah guna kuasa dan ketirisan dalam pentadbiran negeri, tiada sebarang desakan, laporan atau sidang media agresif daripada pembangkang. Malah, tiada pemimpin lantang tampil mengheret isu ini atau menuntut siasatan terbuka terhadap PDC dan kemungkinan wujudnya kolusi dalaman.
Situasi ini menimbulkan kekecewaan besar dalam kalangan rakyat yang semakin sinis terhadap keupayaan pembangkang untuk menjalankan peranan semak dan imbang secara efektif. Sebuah kerajaan yang tidak ditegur akan mudah terdedah kepada penyalahgunaan kuasa, dan pembangkang yang diam seribu bahasa ibarat memberi lesen percuma kepada kerakusan segelintir elit.
Leave a Reply