
Naib Presiden PAS, Dato’ Sri Amar D’Raja Kelantan (DSADR), terus menegaskan kemungkinan besar Parlimen akan dibubarkan lebih awal, menjelang tahun hadapan. Dalam beberapa pertemuan bersama jentera parti di Johor dan Pulau Pinang, beliau mengulangi peringatan bahawa pembangkang perlu bersedia menghadapi serangan politik, khususnya di negeri-negeri yang dikuasai PAS dan Perikatan Nasional.
Kesungguhan DSADR dalam memastikan jentera parti bersiap sedia jelas apabila beliau mengambil keputusan untuk memendekkan tempoh umrah Ramadannya di Tanah Suci Mekah bagi memenuhi jemputan di kedua-dua negeri. Keputusan ini menunjukkan betapa seriusnya beliau terhadap persiapan pilihan raya dan komitmen untuk memperkukuh strategi parti di peringkat akar umbi.
Dalam sesi bersama jentera di Johor dan Pulau Pinang, DSADR menekankan bahawa ekonomi yang dijangka semakin merosot pada 2027 akan menjadi beban besar kepada kerajaan, menyebabkan Perdana Menteri mungkin memilih untuk membubarkan Parlimen lebih awal bagi mengelak tekanan politik yang lebih hebat. Selain itu, cabaran dalaman yang dihadapi oleh Anwar Ibrahim dalam kalangan pemimpin DAP dan UMNO turut menjadi faktor yang boleh mempercepatkan langkah ke arah PRU.
Beliau turut memberi amaran bahawa negeri pembangkang seperti Kelantan akan menjadi sasaran utama serangan politik dan media. Justeru, jentera tidak boleh hanya bertahan dan menjawab isu yang dilemparkan, sebaliknya perlu lebih agresif dalam memperkukuhkan naratif perjuangan parti. DSADR juga tidak menolak kemungkinan bahawa pemimpin pembangkang akan diheret ke mahkamah menjelang PRU sebagai sebahagian daripada taktik politik untuk menjejaskan kredibiliti mereka.
Baginya, persiapan awal adalah kunci. Jika PRU berlaku tahun hadapan, pembangkang sudah siap sedia. Jika tidak, sekurang-kurangnya strategi telah diperkuatkan, memastikan momentum terus dikekalkan dalam menghadapi sebarang kemungkinan.
Leave a Reply