
KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) semalam mengadakan pertemuan dengan pemilik akaun Facebook, Ainon Mohd, susulan hantaran kontroversi yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW.
Dalam kenyataan di Facebook, JAKIM memaklumkan bahawa pertemuan itu turut dihadiri pegawai dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Jabatan Mufti Negeri Selangor.
Menurut JAKIM, pihaknya telah memberi teguran serta menasihati Ainon agar lebih berhati-hati dalam memuat naik sebarang kandungan berkaitan Islam. Beliau juga dinasihatkan untuk merujuk kepada pihak berkuasa bagi mengelakkan penyebaran maklumat yang tidak tepat.
“Hasil pertemuan ini, Ainon Mohd bersetuju untuk menurunkan hantaran berkenaan daripada media sosial serta mengemukakan permohonan maaf secara terbuka. Beliau juga berjanji untuk tidak mengulangi perkara yang sama dan akan lebih berhati-hati dalam sebarang penulisan yang dihasilkan,” kata kenyataan itu.
JAKIM turut menggesa agar semua pihak tidak mencetuskan kekeliruan atau kegelisahan awam dengan menyentuh perkara yang boleh mencemarkan kemuliaan Nabi Muhammad SAW serta mengganggu keharmonian umat Islam di negara ini.
“JAKIM menghargai usaha para penerbit dan penulis buku dalam mendidik umat Islam melalui penulisan sebagai medium dakwah. Namun, pihak yang terlibat harus lebih berhati-hati agar tidak menjadikan baginda Nabi Muhammad SAW sebagai sandaran tanpa asas yang kukuh demi menjaga kesucian nama serta martabat baginda sebagai utusan Allah SWT,” tambah kenyataan itu.
Sebelum ini, polis telah menerima 13 laporan di seluruh negara berhubung hantaran yang didakwa menghina Rasulullah SAW. Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, mengesahkan bahawa kes tersebut telah dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memastikan hantaran tersebut diturunkan bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Leave a Reply