Kebenaran Itu Menuntut Dirinya

Undang-Undang Islam Kelantan Mesti Kebal Dari Dicabar

Foto oleh FAIZ ALIF / KOSMO!

KOTA BHARU – Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan tidak boleh dilihat sebagai satu kelemahan, tetapi langkah strategik untuk memastikan undang-undang ini lebih kukuh dan tidak boleh dicabar di masa hadapan. Kerajaan Negeri sebelum ini telah pun mengambil pendekatan menyeluruh dengan melibatkan pakar perundangan dari seluruh negara, agensi dan jabatan yang berautoriti, termasuk tokoh akademik dan ulama, dan mendapat perkenan Sultan Kelantan.

Namun, cabaran sebenar bukan hanya pada aspek teknikal atau perundangan. Keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan sebahagian enakmen ini dibuat oleh panel hakim beragama Islam, sedangkan ia adalah perundangan syariah yang diperkenankan oleh Ketua Agama Islam Negeri. Lebih mengejutkan, cabaran terhadap enakmen ini datang daripada individu Islam yang membawa petisyen untuk menghalangnya.

Di manakah kedudukan syariah dalam sistem perundangan kita? Mengapa setiap kali berkaitan dengan syariah, ia mudah digugat, sedangkan undang-undang lain yang lebih kontroversi jarang menerima tentangan sebegini?

Kerajaan Negeri Kelantan kini berhadapan dengan tanggungjawab besar untuk memastikan pindaan enakmen yang baru benar-benar kebal daripada sebarang percubaan untuk mencabar atau membatalkannya. Jawatankuasa teknikal yang sedang bersidang perlu memastikan tiada ruang untuk kelemahan yang boleh dieksploitasi oleh mana-mana pihak.

Perjuangan ini memerlukan sokongan seluruh umat Islam, kerana jika kita berdiam diri hari ini, tidak mustahil masa depan syariah akan terus terhakis atas nama demokrasi dan hak asasi yang disalah tafsir.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan negeri merancang membentangkan pindaan itu pada sesi Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan April depan.

Terdahulu, panel sembilan hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, dalam keputusan majoriti 8-1 membuat keputusan membatalkan enakmen terbabit selepas membenarkan petisyen peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid, dan anaknya, Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *