
PENGKALAN CHEPA: Persatuan Anak Kelantan Perantauan Malaysia (Perakan) terus memperhebatkan usaha bantuan pasca banjir dengan fokus kepada keperluan mendesak mangsa, terutama menjelang cuti sekolah, permulaan sesi baharu persekolahan, serta sambutan Ramadan dan Aidilfitri yang bakal tiba.
Misi bantuan ini tidak hanya tertumpu kepada barangan asas seperti keperluan dapur dan pakaian, tetapi turut merangkumi sokongan tenaga dan moral untuk meringankan beban keringat mangsa yang terkesan. Suasana akhir dan awal tahun menjadi cabaran besar buat ramai, lebih-lebih lagi dengan persiapan persekolahan anak-anak.
“Pasca banjir bukan sekadar membersihkan rumah atau mencuci selut, tetapi juga memastikan mangsa mempunyai kelengkapan mencukupi untuk memulakan kehidupan mereka semula. Menjelang sesi baharu sekolah, mangsa banjir memerlukan bantuan tambahan seperti pakaian sekolah, beg, dan alat tulis,” kata jurucakap Perakan, Abe Long.
Persatuan ini telah menghantar dua trak pikap berisi bantuan ke DUN Panchor, DUN Kijang, dan DUN Chempaka, termasuk agihan kelengkapan dapur serta barang keperluan harian. Misi ini dilakukan secara teliti bagi memastikan bantuan diagihkan secara adil ke seluruh kawasan di Kelantan.
Sementara itu, Dato’ Sri Amar D’Raja Kelantan, yang masih berada di Kuala Lumpur untuk menghadiri dua program di Bangi dan Klang, mewakilkan pegawai khasnya bagi menyampaikan sedikit cenderamata kepada sukarelawan Perakan. Para wira ini telah membawa sumbangan terus ke pusat khidmatnya di Panchor.
“Selain fokus kepada keperluan semasa, kami juga ingin meringankan beban rakyat Kelantan dalam menyambut Ramadan dan Aidilfitri yang tidak lama lagi. Ini masanya kita berganding bahu membantu mereka yang memerlukan,” tambah Abe Long.
Usaha ini bukan sekadar misi kemanusiaan, tetapi juga simbol solidariti anak-anak Kelantan yang tidak pernah melupakan tanah air mereka, walau di mana mereka berada.
Leave a Reply