Kebenaran Itu Menuntut Dirinya

Banjir Belum Berakhir: Kerugian 2014 Dijadikan Panduan – Dato’ Dr. Izani Tekankan Kesiapsiagaan dan Pemulihan

KOTA BHARU – Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Dato’ Dr. Izani Husin, ketika menjawab pertanyaan wartawan mengenai kerugian akibat gelombang pertama banjir, memaklumkan bahawa setakat ini tiada penilaian rasmi dapat dibuat. Beliau menjelaskan bahawa musim banjir masih berpotensi membawa gelombang seterusnya, dan keutamaan diberikan kepada persediaan menghadapi kemungkinan tersebut.

“Setakat ini, kita belum ada penilaian sebenar kerana musim banjir masih belum berakhir. Fokus kita sekarang adalah memastikan persediaan rapi bagi menghadapi gelombang berikutnya,” katanya ketika ditemui.

Beliau turut merujuk kepada data banjir besar pada 2014, di mana laporan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Kelantan mencatatkan anggaran kerugian melebihi RM1 bilion melibatkan kerosakan besar pada infrastruktur seperti jalan raya, jambatan, saluran paip, dan aset kerajaan. Data dari Universiti Sultan Zainal Abidin juga merekodkan bahawa di Hulu Kelantan sahaja, kos penyelenggaraan infrastruktur mencapai RM6.71 juta.

“Berdasarkan pengalaman lalu, kita boleh menjangka bahawa skala kerugian tidak akan jauh berbeza, dengan anggaran 60% hingga 70% kerosakan melibatkan infrastruktur asas. Namun, ini semua perlu disahkan setelah penilaian penuh dibuat,” jelas Dato’ Dr. Izani.

Beliau menambah bahawa kerajaan negeri sentiasa mengutamakan bantuan segera kepada mangsa banjir sambil memastikan usaha pemulihan berjalan lancar. Langkah-langkah persediaan untuk menghadapi gelombang kedua turut dipertingkatkan, termasuk penyelarasan bantuan dengan agensi-agensi berkaitan.

“Penilaian sebenar hanya akan dilakukan selepas musim banjir tamat, supaya kita dapat merancang tindakan pemulihan secara menyeluruh dan memastikan keperluan rakyat dipenuhi,” katanya lagi.

Dato’ Dr. Izani turut menyeru rakyat Kelantan untuk terus berwaspada dan mengikuti perkembangan cuaca bagi mengurangkan risiko bahaya, sambil menegaskan bahawa kerajaan negeri akan terus komited dalam menghadapi cabaran musim tengkujuh ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *