Kebenaran Itu Menuntut Dirinya

Bukan Jutawan, Bukan Kaya Raya: Penghulu Dihina, Namun Terus Berbakti Sepenuh Jiwa Demi Rakyat – Empat Isu Dijawab!

KOTA BHARU – Para penghulu di Kelantan terus komited melaksanakan amanah meskipun dihujani tohmahan dan fitnah. Dalam keadaan penuh cabaran ketika banjir, penghulu bersama petugas PPS menggalas tanggungjawab berat bagi memastikan kebajikan mangsa terpelihara. Berikut adalah penjelasan kepada empat isu utama yang dijadikan bahan kritikan tidak berasas:

Isu Sumbangan Dipek Semula

Hakikatnya, pengurusan PPS bertanggungjawab memastikan semua mangsa menerima hak sama rata tanpa sebarang keciciran. Proses penyusunan semula ini dilakukan secara teliti bagi memastikan keadilan kepada semua mangsa, terutama apabila sumbangan diterima dalam jumlah yang tidak sekata atau tidak sesuai untuk terus diedarkan. Langkah ini mencerminkan integriti pihak pengurusan dalam menjaga kebajikan semua pihak.

Isu 100 Kg Ikan Basah

Tuduhan bahawa penghulu menolak sumbangan 100 kg ikan basah juga salah faham. Pengurusan PPS perlu memastikan logistik mencukupi untuk memproses jumlah ikan yang besar ini. Memproses ikan sebanyak itu memerlukan tenaga kerja tambahan, masa, dan memastikan ia kekal segar hingga selesai dimasak. Kadangkala, makanan untuk sehari telah tersedia, dan tambahan mendadak seperti ini boleh menyebabkan pembaziran atau kesukaran logistik. Oleh itu, meminta ikan tersebut dibawa pulang adalah langkah bijak bagi memastikan pengurusan makanan lebih teratur.

Isu Penggunaan Plastik Berlogo Parti

Tuduhan penggunaan beg plastik berlogo parti juga perlu diluruskan. Plastik tersebut hanya digunakan apabila plastik biasa kehabisan, dan ia digunakan dalam situasi kecemasan untuk mengangkut barangan. Penggunaan plastik berlogo ini bukan bertujuan politik, tetapi semata-mata menyelesaikan keperluan yang berkebetulan boleh didapati segera dari Pusat Khidmat. Ia digunakan dalam jumlah kecil, dan bukanlah amalan berterusan. Tuduhan ini jelas memutarbelitkan situasi sebenar.

Isu Kekecohan Kumpulan Berlogo Parti di PPS

Kekecohan timbul apabila sebuah kumpulan yang memakai pakaian berlogo parti dan membawa barangan berunsur politik cuba masuk ke PPS tetapi dihalang oleh penghulu. Tindakan ini adalah tepat kerana PPS merupakan zon neutral. Demi menjaga keharmonian, pihak yang ingin menyantuni mangsa banjir diminta meninggalkan pakaian berlogo dan elemen politik di luar. Hal ini sejajar dengan pendekatan kerajaan dan menteri yang hadir ke PPS dalam kapasiti jawatan kerajaan, bukan parti. Keputusan ini bukan sahaja memastikan keharmonian di PPS, tetapi juga menunjukkan keadilan dalam pengurusan bantuan tanpa sebarang agenda terselindung.

Walaupun berdepan tohmahan dan kritikan, para penghulu dan petugas PPS terus bersengkang mata, bekerja siang malam memastikan kebajikan mangsa banjir diutamakan. Mereka tidak mengharapkan pujian atau pengiktirafan, tetapi hanya melaksanakan amanah dengan penuh keikhlasan. Dalam situasi mencabar ini, tindakan mereka adalah bukti nyata dedikasi dan kesungguhan terhadap rakyat Kelantan, mengutamakan kebajikan tanpa melibatkan sebarang agenda politik.

One response to “Bukan Jutawan, Bukan Kaya Raya: Penghulu Dihina, Namun Terus Berbakti Sepenuh Jiwa Demi Rakyat – Empat Isu Dijawab!”

  1. Mainun Avatar
    Mainun

    MaasyaAllah pencerahan terbaik. Semoga Semua penghulu dapat berlapang dada dgn tohmahan dan fitnah liar orang tidak bertanggungjawab dan tidak memahami situasi sebenar di lapangan ( pengurusan mangsa banjir di PPS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *