
KOTA BHARU – Keindahan Islam terpancar dalam situasi mencabar apabila sukarelawan dan mangsa banjir di Kelantan tetap menjaga aurat dengan sempurna, sebagaimana yang dirakam secara spontan dalam siaran langsung oleh influencer terkenal, Khairul Aming.
Melalui siri live yang dilakukan di lokasi-lokasi Pusat Pemindahan Sementara (PPS), jelas kelihatan suasana yang memperlihatkan rakyat Kelantan, khususnya wanita, menjaga adab dan penampilan mereka walaupun dalam keadaan serba kekurangan. Wanita tampil lengkap bertudung, manakala lelaki pula berpakaian sopan, mencerminkan budaya masyarakat yang tinggi nilai agamanya.
“Dalam keadaan banjir pun, ramai yang tetap menutup aurat dengan baik. Sangat mengagumkan dan jarang kita lihat di tempat lain,” kata Mei Ling yang menonton salah satu live KA yang tular baru-baru ini.
Pemandangan ini tidak hanya mencerminkan keperibadian masyarakat Kelantan, tetapi juga kejayaan dasar “Membangun Bersama Islam” yang dipertahankan selama 34 tahun. Pendidikan agama yang diterapkan secara konsisten telah membentuk rakyat yang berpegang teguh kepada ajaran Islam walaupun diuji dengan musibah.
Sukarelawan yang hadir membantu juga menunjukkan contoh teladan apabila ramai tampil dengan pakaian sopan dan menjaga aurat ketika berkhidmat. Dalam live Khairul Aming, mereka dilihat bersemangat menghulurkan bantuan, sekali gus mencerminkan kesatuan hati rakyat Kelantan dalam menghadapi ujian.
Keindahan ini mengingatkan bahawa nilai-nilai Islam tidak hanya terhad kepada waktu lapang atau keselesaan, tetapi kekal diutamakan walaupun dalam keadaan getir. Ia menjadi inspirasi kepada masyarakat luar bahawa cabaran hidup tidak seharusnya menjadi alasan untuk mengabaikan tuntutan agama.
Leave a Reply