
KELANTAN – YAB Dato’ Panglima Perang, Dato’ Mohd Nassuruddin bin Daud, Menteri Besar Kelantan, menjadi tumpuan apabila media sosial beliau mencatatkan kejayaan luar biasa dengan lebih 3 juta tontonan di TikTok dan hampir sejuta engagement di Facebook hanya dalam masa tiga hari.
Segalanya bermula apabila beliau tampil turun ke lapangan membantu mangsa banjir di sekitar kawasan Kelantan sebaik sahaja Sidang Dewan Negeri ditangguhkan. Memakai baju Melayu lengkap bersongkok dan bersampin, tindakan beliau segera mendapat perhatian, meskipun pada awalnya disambut dengan sindiran segelintir netizen. Namun, video yang menunjukkan beliau mengemudi bot dengan mahir untuk menyantuni mangsa banjir mengubah persepsi ramai, mempamerkan kepimpinan yang dekat di hati rakyat.
Kecekapan beliau dalam mengendalikan bot tidak asing, memandangkan kawasan kediamannya sendiri sering terjejas banjir saban tahun. Aksi beliau bukan sahaja menjadi simbol keprihatinan, tetapi turut memperlihatkan komitmen seorang pemimpin yang memahami situasi rakyatnya.
Dalam tempoh singkat, video-video di TikTok dan Facebook mula tular, mencetuskan keterujaan di kalangan rakyat Kelantan dan luar negeri. Sambutan ini membuktikan betapa pentingnya media sosial sebagai saluran mendekati rakyat, selain menjadi arkib berharga untuk rujukan generasi akan datang.
Keberanian dan kesungguhan YAB Dato’ Panglima Perang dalam membantu rakyatnya bukan sekadar memenuhi tanggungjawab, tetapi juga menunjukkan teladan kepimpinan sejati. Dalam suasana mencabar musim tengkujuh, beliau terus membuktikan bahawa keikhlasan dan tindakan nyata mampu meraih kepercayaan dan sokongan rakyat.
Leave a Reply