
PENGKALAN CHEPA – Dalam usaha meringankan beban mangsa banjir, Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary, meluangkan masa selepas pulang dari sidang Parlimen untuk menyantuni mangsa yang ditempatkan di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di kawasan ini, iaitu SK Tapang dan SK Sering.
Kehadiran beliau disambut mesra oleh penduduk yang terkesan, apatah lagi dengan kejutan berupa sumbangan ayam goreng Eddlee Fried Chicken, jenama terkenal anak tempatan. Sumbangan itu bukan sahaja membantu membuka selera tetapi juga membawa keceriaan kepada keluarga yang berdepan situasi sukar.
“Terima kasih kepada YB kerana tak pernah lupa pada kami. Sumbangan ayam goreng ini memang menggembirakan anak-anak di sini,” kata salah seorang penduduk yang ditemui.
Walaupun sibuk dengan tanggungjawab sebagai wakil rakyat di Parlimen, Datuk Marzuk tetap komited meluangkan masa untuk kawasan yang diwakilinya. Beliau juga meneruskan tradisi menyampaikan kuliah mingguan pada setiap Maghrib hari Jumaat, memastikan bimbingan rohani sentiasa menjadi keutamaan walaupun dalam keadaan mencabar.
Beliau dijangka kembali ke ibu negara selepas selesai tugas di kawasan bagi meneruskan perjuangan untuk rakyat di Dewan Rakyat. Tindakan beliau menjadi bukti nyata seorang pemimpin yang sentiasa mendahulukan rakyat, tidak kira dalam apa jua keadaan.
Leave a Reply