
KOTA BHARU, 23 Okt — “Doa belaka deh, biar koho maju mudah nak bantu jamaah.” Kata-kata semangat ini diungkapkan oleh Nik Asmawie Nik Abdullah, CEO Perabot Nik Lah Sdn Bhd, menggambarkan tekadnya untuk memajukan syarikat yang diasaskan oleh bapanya dan memperkukuh ekonomi tempatan.
Asmawie melihat kejayaan perniagaan ini bukan hanya untuk meraih keuntungan, tetapi sebagai medium untuk membantu komuniti, khususnya dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada anak tempatan dan memperkasa usahawan bumiputera lain.
Mesin CNC Drilling dari China seberat 4 tan yang tiba hari ini menambah lagi koleksi mesin di kilang ini yang dijangka meningkatkan ketepatan dan kecekapan pengeluaran perabot kayu, membolehkan syarikat menghasilkan produk berkualiti tinggi dengan lebih konsisten. Langkah ini adalah sebahagian daripada pelaburan strategik syarikat dalam mengadaptasi teknologi baru, sejajar dengan matlamat untuk memenuhi citarasa pasaran tempatan dan antarabangsa.
Perabot Nik Lah Sdn Bhd ditubuhkan pada 16 Disember 1994 oleh Allahyarham Tuan Haji Nik Abdullah bin Raja Ahmad, yang bermula sebagai sebuah bangsal kecil menjual kayu. Asmawie, yang mengambil alih tanggungjawab sebagai pengurus pengeluaran pada 1995 selepas menamatkan kursus Middle Manager in Wood Technology, MARA-FITEC, telah berjaya memacu syarikat ini menjadi salah satu peneraju industri perkayuan di Kelantan.
Kini, selain menjadi Presiden Persatuan Perabot Bumiputera Malaysia (PETRA) dan Pengerusi Persatuan Industri Perabot Kelantan (KAF), Asmawie juga merupakan Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI). Melalui peranan-peranan ini, beliau tekad memperkukuhkan jaringan usahawan bumiputera, walaupun cabaran di peringkat nasional dan global sentiasa wujud. Dengan fokus kepada pengembangan teknologi, komitmen, dan doa yang berterusan, Asmawie percaya tiada yang mustahil untuk dicapai.
Leave a Reply