
Sebuah video dari TikTok, dikongsi dalam WhatsApp dengan kapsyen “Atok nak jalan pun susah boleh kahwin dengan perempuan muda,” disertai emoji ketawa, telah mencetuskan pelbagai reaksi di kalangan netizen. Hasil siasatan menunjukkan bahawa video tersebut berasal dari akaun TikTok “Rias penganten Ijum Paminggir” di Indonesia. Dalam komen video tersebut, tertulis, “Abah nya ding lawas kdd ktm pas ketemu wkt aqad ini aj,” yang bermaksud “Ayahnya sudah lama tak jumpa, baru bertemu lagi masa akad nikah ini saja.”
Kapsyen asal video mendedahkan cerita yang lebih dalam tentang hubungan tegang antara pengantin dan orang tuanya. Kapsyen itu berbunyi, “Pengantin ada masalah dengan orang tuanya. Mula-mula cuma perkara kecil, tapi jadi besar. Mereka hanya bertemu balik masa nak kahwin sebab orang tua kena jadi wali. Malangnya, pertemuan tu pun dalam suasana yang tak berapa baik. Itu yang buat masalah jadi semakin tegang, macam bom yang nak meletup.”
Dalam hal ini, netizen dinasihatkan agar lebih berhati-hati dan mengelak daripada menyebarkan atau mempercayai informasi separuh masak, lebih-lebih lagi yang berunsur sindiran, tanpa memahami konteks sebenar. Kerap kali, perkongsian sebegini dianggap remeh, namun dalam Islam, ia dianggap sebagai perbuatan yang haram. Tindakan tidak menapis dan menyaring kandungan media boleh merosakkan kredibiliti seseorang, terutama apabila mereka ingin berkongsi perkara-perkara yang lebih penting pada masa akan datang.
Lebih membimbangkan, sikap yang terlalu mudah dipermainkan dalam isu sebegini menjadikan individu sasaran mudah bagi pihak luar yang berniat memutarbelit isu-isu sensitif negara atau politik. Maka, sikap berhati-hati serta menyelidik setiap sumber amat penting untuk menjaga maruah diri dan melindungi integriti masyarakat.
Leave a Reply