
Kontroversi mengenai insiden bendera China yang dikibarkan oleh pelajar di Chung Ling Private High School di Pulau Pinang bukan sahaja menimbulkan isu diplomatik, malah mencetuskan kebimbangan tentang keupayaan untuk mengenal pasti identiti warga asing, khususnya dari China. Walaupun Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, telah menjelaskan bahawa pelajar berkenaan bukan rakyat Malaysia, tetapi pelajar asing yang menuntut di sekolah swasta tersebut, pemerhatian netizen menunjukkan pelajar yang mengibarkan bendera itu mengenakan pakaian sekolah tempatan, sama seperti pelajar Malaysia.
Menurut Fahmi, dakwaan yang menyatakan bahawa insiden ini melibatkan pelajar Malaysia adalah suatu tohmahan yang sengaja diada-adakan untuk menimbulkan kemarahan rakyat. “Saya dapati beberapa individu menyebarkan fitnah yang mengganggu ketenteraman awam,” kata Fahmi. “Berdasarkan gambar yang tular, ada pihak yang mengatakan pelajar Malaysia mengibarkan bendera China, namun setelah disemak, saya mengesahkan bahawa pelajar-pelajar ini adalah dari China. Mereka bersekolah di Chung Ling Private High School dan mengibarkan bendera negara asal mereka.”
Insiden ini menambah lagi kebimbangan yang sedia ada – iaitu kesukaran untuk membezakan antara warga asing dan penduduk tempatan, terutamanya apabila mereka berkongsi ciri-ciri bahasa dan penampilan yang serupa. Malaysia sudah lama menampung komuniti Cina yang besar, dan dengan semakin ramai warga asing dari China kini hadir, perbezaan antara penduduk tempatan dan mereka yang berada di sini buat sementara waktu menjadi semakin samar. Hal ini menimbulkan kegelisahan, terutama dalam kalangan rakyat yang bimbang bahawa kedaulatan dan identiti budaya negara sedang terhakis.
Selain itu, kehadiran lebih 1,000 pelatih Tentera Laut China di Pulau Pinang dalam misi “kunjungan silaturahim” telah memburukkan lagi keadaan. Walaupun Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, menegaskan bahawa yang hadir ke sekolah berkenaan adalah pelajar dari Naval University of China, bukan anggota tentera, netizen mempersoalkan mengapa begitu ramai warga asing, khususnya dari sebuah negara dengan hubungan diplomatik yang sensitif, dibenarkan melawat institusi pendidikan tempatan tanpa pertimbangan mendalam terhadap sensitiviti setempat.
Dalam konteks perundangan, peguam Aidil Khalid merujuk Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949 (Akta 193), Seksyen 3, yang jelas melarang pameran lambang kebangsaan negara asing di tempat awam, termasuk di sekolah-sekolah di Malaysia, kecuali untuk tujuan diplomatik atau konsular. Seksyen 5 akta ini memberikan kuasa kepada menteri untuk memberi pengecualian, tetapi kes ini tidak menunjukkan adanya pengecualian rasmi yang diberikan.
Isu ini timbul ketika hubungan antara kaum dan agama di Malaysia berada pada tahap sangat rapuh. Beberapa insiden yang mencabar kepekaan budaya, adat, dan agama telah menimbulkan persoalan tentang kesetiaan dan rasa hormat terhadap nilai negara ini. Dalam konteks masa kini, di mana isu kedaulatan laut dan pencerobohan antarabangsa seperti yang berlaku di Palestin menjadi tumpuan, kehadiran warga asing yang dilihat tidak menghormati Melayu, institusi Raja, dan Islam boleh memburukkan lagi hubungan antara kaum.
Malaysia perlu mengambil pendekatan yang lebih tegas untuk memastikan kehadiran warga asing tidak menimbulkan kekeliruan atau keresahan dalam kalangan rakyat. Apabila melibatkan budaya dan identiti, adalah penting untuk mewujudkan garis yang jelas dan tegas agar pengaruh asing tidak mencampuri urusan tempatan yang memerlukan kepekaan dan rasa hormat terhadap nilai dan norma yang dipegang oleh negara ini.
Leave a Reply