
Kota Bharu, 11 Oktober – Medan Ilmu Kota Bharu kembali menjadi tumpuan ribuan rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat pagi ini, dengan kehadiran pendakwah terkenal Ustaz Azhar Idrus. Namun, kehadiran beliau turut menimbulkan kontroversi dalam kalangan sesetengah pihak yang tidak selesa dengan gaya penyampaian beliau yang dianggap kasar dan kurang formal, khususnya apabila istilah-istilah seperti “bodoh” dan “kopek” digunakan secara terbuka. Walaupun bagi masyarakat tempatan istilah ini biasa digunakan dalam nada selamba dan bersahaja, terdapat juga segelintir pihak yang menilai pendekatan ini sebagai kurang sesuai, lebih-lebih lagi apabila dipotong dan dikongsikan di media sosial.
Populariti Ustaz Azhar Idrus dalam kalangan anak muda Kelantan tidak dapat dinafikan. Gaya penyampaiannya yang santai dan penuh humor dikenali sebagai “jijok angin” oleh masyarakat setempat. Meskipun penggunaan bahasa beliau adakalanya dianggap kasar oleh orang luar, ramai yang menganggap pendekatan ini lebih dekat dengan jiwa dan sesuai dengan audiens tempatan. Ini sekaligus melambangkan kesinambungan tradisi dakwah yang disampaikan oleh tokoh-tokoh besar seperti Allahyarham Tok Guru Nik Aziz, Ustaz Bunyamin, dan Dato’ Nik Amar, yang terkenal dengan pendekatan selamba tetapi mendalam.
Selain itu, suasana di Medan Ilmu hari ini turut diceriakan dengan kehadiran mantan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Bentara Kanan Ustaz Dato’ Haji Ahmad Yaakob, yang hadir mendengar kuliah bersama masyarakat. Ustaz Azhar sempat menyapa beliau secara santai, mencuit hati hadirin dengan gurauan spontan yang menghidupkan suasana mesra dan bersahaja di kalangan yang hadir.
Menariknya, Ustaz Azhar Idrus turut dikenali sebagai Tok Fakih dalam kalangan masyarakat, merujuk kepada pengetahuan mendalam beliau dalam isu-isu fekah dan Fardu Ain. Walaupun hukum-hakam ini sudah diajar di peringkat sekolah rendah, masyarakat masih merujuk kepada beliau untuk penjelasan yang sesuai dengan isu-isu semasa. Ternyata, perkembangan dunia yang pantas menimbulkan pelbagai soalan baru yang memerlukan pemahaman yang lebih kontekstual. Ustaz Azhar kerap mengaitkan hukum fekah ini dengan situasi kehidupan masa kini, menjadikan ilmu tersebut lebih relevan dan mudah difahami oleh generasi muda.
Tradisi yang dimulakan oleh Allahyarham Tok Guru Nik Aziz ini tidak pernah surut dari minat rakyat, dan Medan Ilmu kekal sebagai tempat utama penyampaian ilmu dan dakwah di tengah kota.
Sejak dari dahulu, Tok Guru Nik Aziz terkenal dengan komitmennya yang tinggi untuk mengadakan kuliah di Medan Ilmu setiap Jumaat. Walaupun beliau memiliki masjid sendiri di Pulau Melaka, Tok Guru tetap memilih Medan Ilmu sebagai pentas utama dakwahnya. Di sini, beliau berbicara tentang pelbagai isu, baik agama mahupun yang berkaitan kehidupan semasa, menjadi tumpuan ramai dari seluruh pelosok negara. Ramai yang hadir untuk mendengar pandangan beliau mengenai pelbagai isu, menjadikan kuliah pagi Jumaat sebagai satu acara yang bersejarah di Kota Bharu.
Bagi penduduk tempatan, kuliah pagi Jumaat di Medan Ilmu adalah lambang kekuatan komuniti yang menghargai ilmu dan persahabatan. Dakwah santai Ustaz Azhar yang dekat dengan jiwa pendengar bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi juga mendekatkan hubungan antara penceramah dan pendengar. Tradisi ini diharapkan terus subur, menjadi lambang keharmonian dan perpaduan dalam kalangan rakyat Kelantan, dan kekal sebagai pusat ilmu yang menyatukan masyarakat dari pelbagai latar belakang.
Leave a Reply