
Banjir yang sedang melanda Kedah telah mencetuskan kebimbangan rakyat, terutamanya dalam kalangan mangsa yang terjejas dengan kerugian harta benda dan sumber pendapatan. Walaupun Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, kini berada di Jepun atas urusan rasmi, kerajaan negeri Kedah terus komited dalam membantu rakyat yang terkesan.
Tuduhan yang mendakwa MB Kedah mengabaikan rakyat dengan bercuti di luar negara adalah tidak berasas. Lawatan rasmi beliau ke Jepun adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk meneroka teknologi moden yang boleh menangani cabaran perubahan iklim dan masalah banjir yang berulang di negeri ini. Menteri Besar Kedah akan segera kembali ke tanah air sebaik urusan rasmi selesai dan akan bersama-sama rakyat.
Sementara itu, isteri Menteri Besar, Tok Puan Hajjah Jusmalailani Jusoh, telah turun padang melawat mangsa-mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Malau, Kubang Pasu, yang menempatkan 287 mangsa dari 76 keluarga. Kehadiran beliau memberi sokongan moral dan memastikan bantuan diteruskan dengan lancar. Selain itu, Pemuda PAS dan Jabatan Amal Malaysia telah menggerakkan sukarelawan dari seluruh negara untuk membantu operasi bantuan dan pemulihan bagi mangsa-mangsa banjir.
Kerajaan negeri Kedah menegaskan bahawa kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan, dan pelbagai langkah sedang diambil untuk memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan. Marilah kita terus bersatu hati dan berdoa agar bencana ini segera berakhir, dan negeri Kedah kembali pulih dengan lebih kuat.
Leave a Reply