Kebenaran Itu Menuntut Dirinya

Dakwaan Tanah Kelantan Diberi Milik Kepada Syarikat Cina Johor, Apa Sebenarnya Berlaku?

Foto: Tangkap layar TikTok Hanani Dhamirah

Seorang pengguna TikTok, Hanani Dhamirah, telah mendedahkan bagaimana Wenzhuan Sdn. Bhd., sebuah syarikat berpusat di Kluang, Johor, berjaya memperoleh hak pegangan tanah selama-lamanya di Kelantan, mencetuskan persoalan tentang kepatuhan terhadap Enakmen Tanah Kelantan 1938 yang menetapkan bahawa hak milik tanah seharusnya terhad kepada anak tempatan Kelantan. Tanah seluas 122.6 hektar di Gua Musang ini, yang kini digunakan untuk penanaman durian Musang King, didakwa bertentangan dengan syarat asal yang diperuntukkan untuk getah dan kelapa sawit.

Penjelasan awal mendapati bahawa tanah ini bukanlah pemberian kerajaan, sebaliknya adalah milik swasta yang telah melalui beberapa proses pemilikan sejak tahun 1938 dan terletak di luar Rizab Melayu. Tanah ini diperoleh Wenzhuan Sdn. Bhd. melalui pembelian yang sah daripada pemilik asal, dan tidak terlibat dalam sebarang pemberimilikan kerajaan negeri.

Sumber tambahan turut menekankan bahawa tanah tersebut berstatus ‘freehold’ dan tidak tertakluk kepada undang-undang sekatan kepentingan yang biasa dikenakan terhadap tanah kerajaan. Proses perolehan tanah dilakukan sepenuhnya melalui saluran undang-undang tanpa melibatkan pihak kerajaan negeri, dan sebarang tuduhan sebaliknya dianggap tidak berasas.

Isu ini dipercayai disensasikan menjelang PRK DUN Mahkota di Johor, dengan dakwaan yang dikaitkan dengan PAS kononnya mengelak berkempen di Kluang kerana khuatir isu ini terbongkar. Walau bagaimanapun, sehingga kini, PAS dan kerajaan negeri tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai perkara ini, dan beberapa pihak dalam PAS menyifatkan dakwaan ini sebagai taktik politik untuk mengalihkan perhatian pengundi.

Sumber dalaman mempertahankan bahawa tiada sebarang unsur kecuaian dalam proses perolehan tanah tersebut dan menasihati semua pihak untuk mendapatkan maklumat yang tepat sebelum membuat tuduhan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *