Kebenaran Itu Menuntut Dirinya

Tok Guru Nik Aziz, Ibnu Taimiyah dan Ketegasan Dalam Prinsip

Ramai yang menganggap Tok Guru Nik Aziz seorang pemimpin yang lembut manakala Tok Guru Haji Hadi lebih tegas dalam pendekatan politik mereka. Namun, hakikatnya kedua-dua tokoh besar ini berkongsi prinsip yang sama kukuh dalam perjuangan mereka. Apa yang membezakan hanyalah gaya pendekatan.

Tok Guru Nik Aziz sering dilihat lembut kerana bahasanya yang halus, manakala Tok Guru Haji Hadi lebih bersifat ‘straight forward’ dalam menyampaikan pandangan. Namun, bagi mereka yang benar-benar mengenali keperibadian Tok Guru Nik Aziz, beliau sebenarnya tidak selembut yang disangka. Tok Guru Nik Aziz sangat tegas dalam mempertahankan prinsip, seiring dengan ketegasan Tok Guru Haji Hadi.

Dato’ Sri Amar D’Raja Kelantan, membuat perbandingan dengan mengaitkan tokoh ulama terkenal seperti Ibnu Taimiyah dan anak muridnya, Ibnu Qayyim. Ramai di kalangan masyarakat pondok tidak bersetuju dengan pandangan Ibnu Taimiyah dalam beberapa isu, tetapi menerima Ibnu Qayyim dengan lebih terbuka kerana pendekatan yang lembut dalam karya-karyanya. Walhal, Ibnu Qayyim merupakan murid utama dan penerus kepada pemikiran gurunya. Ini menunjukkan bahawa pendekatan yang berbeza boleh memberi impak yang berbeza walaupun prinsipnya tetap sama.

Kekeliruan yang sering berlaku ialah apabila masyarakat membandingkan PAS pada era Tok Guru Nik Aziz dengan PAS di bawah kepimpinan Tok Guru Haji Hadi, tanpa menyedari keperibadian Tok Guru Nik Aziz yang sebenar. Perbezaan di antara mereka hanya pada gaya – Tok Guru Nik Aziz seperti silat pulut yang licik dan penuh seni, manakala Tok Guru Haji Hadi lebih kepada boksing Siam yang terus menyerang. Kedua-dua gaya ini berbeza, tetapi tujuan dan prinsip tetap sama.

Semua pandangan ini telah dikongsi dalam satu wawancara eksklusif bertajuk “Siapa Dato’ Nik Amar” dalam program “Sisi Pandang Episod Tiga” oleh Institut Pemikiran Tok Guru Dato’ Bentara Setia (IPTG).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *