
KOTA BHARU: Dalam satu wawancara eksklusif Sisi Pandang Episod Tiga yang dikendalikan Institut Pemikiran Tok Guru Dato’ Bentara Setia (IPTG), Dato’ Sri Amar D’Raja Kelantan, Dato’ Mohd Amar bin Abdullah membuat pendedahan kisah sebenar mengenai proses pemilihan Menteri Besar Kelantan yang jarang diketahui umum tentang bagaimana keputusan besar tersebut dibuat.
Dato’ Nik Amar mendedahkan bahawa Tok Guru Nik Aziz, dengan ilham dan keteguhan yang diberikan oleh Allah SWT, membuat keputusan mutlak memilih Dato’ Ahmad Yakob, yang sebelum itu adalah Timbalan Menteri Besar Kelantan sebagai pengganti beliau. Keputusan tersebut dibuat dengan begitu tegas tanpa memberikan peluang untuk berbincang, termasuklah daripada mendengar sebarang alasan daripada bakal penggantinya.
Menurut Dato’ Nik Amar, Tok Guru terus meminta setiausaha beliau membawa nama calon tunggal itu kepada PAS Pusat dan untuk dipersembahkan kepada perkenan Tuanku Al-Sultan Kelantan, dan hanya selepas itu barulah makluman dibuat kepada Jawatankuasa Harian PAS Kelantan. Keputusan tegas Pesuruhjaya PAS Kelantan yang juga Mursyidul Am PAS ini membuktikan kehebatan Tok Guru dalam mengenali siapa yang lebih layak untuk membawa Kelantan ke masa depan tanpa menghiraukan tekanan atau pandangan luar.
Dalam wawancara tersebut, Dato’ Nik Amar turut menjelaskan bahawa keputusan Tok Guru ini menutup segala cerita palsu mengenai proses pemilihan tersebut. Kisah yang mengatakan ada usaha untuk menyembunyikan Tok Guru atau bahawa ada calon-calon lain dipertimbangkan hanyalah spekulasi yang tidak berasas.
Sukar mencari orang yang jujur sebagaimana Dato’ Bentara Kanan Ustaz Dato’ Haji Ahmad bin Yakob. Pilihan yang tepat oleh Tok Guru sebagai orang kanannya yang selama ini banyak menyelesaikan masalah dan isu dalam negeri, faham selok belok pentadbiran serta berpengalaman.
Leave a Reply