
KOTA BHARU – Dato’ Sri Amar D’Raja Kelantan, Dato’ Mohd Amar bin Abdullah, hari ini menceritakan pengalaman unik dan penuh cabaran beliau melanjutkan pelajaran di University of Birmingham, United Kingdom, dalam satu wawancara eksklusif “Sisi Pandang Episod Tiga” oleh Institut Pemikiran Tok Guru Dato’ Bentara Setia (IPTG) bertajuk “Siapa Dato’ Nik Amar”.
Menurut beliau, perjalanan akademiknya bermula ketika sedang mengambil STPM pada tahun 1978 ketika Kelantan berada dalam situasi darurat di bawah Mageran. Dato’ Nik Amar kemudian melanjutkan pengajian di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dalam bidang usuluddin dan falsafah selama empat tahun. Beliau pernah berkhidmat sebagai tutor di UKM dan merupakan calon ijazah kelas pertama. Namun, tahun tersebut menyaksikan tiada pelajar dalam Fakulti Islam menerima ijazah kelas pertama, satu fenomena yang jarang berlaku.
Perjalanan beliau diteruskan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebagai penolong pensyarah di Jabatan Ilmu Wahyu. Syarat ketika itu mewajibkan pensyarah yang ingin menyambung pengajian sarjana dan doktor falsafah untuk melanjutkan pelajaran di luar negara. Dato’ Nik Amar memilih University of Birmingham dan menumpukan kajiannya terhadap pemikiran akidah Ibn Taimiyah. Beliau merupakan individu ketiga di England yang melakukan kajian khusus mengenai tokoh tersebut.
Keterujaan pihak universiti termasuk pembelian dan tempahan buku serta kitab-kitab rujukan dari seluruh dunia untuk perpustakaan universiti membantu melancarkan kajian Dato’ Nik Amar. Kajian beliau yang sepatutnya hanya untuk tempoh dua tahun akhirnya dilanjutkan menjadi empat tahun selepas seminar pembentangannya memuaskan hati pihak universiti, yang terus merekomendasikan beliau untuk menyambung ke peringkat PhD. Namun, beberapa masalah dengan JPA menyebabkan biasiswa beliau tidak diluluskan, sekaligus menyekat impian untuk menyelesaikan PhD. Beliau menamatkan pengajian dan pulang dengan MPhil dalam kajian teologi.
Di sebalik cabaran tersebut, Dato’ Nik Amar berterima kasih kepada Profesor Muhammad Kamal Hassan yang telah membantunya sepanjang tempoh pengajian serta sahabatnya, Hany Abdel Gawad El-Banna dari Islamic Relief, yang membantu dari segi kewangan. Dato’ Seri Anwar Ibrahim, ketika itu Presiden UIAM, juga turut memainkan peranan penting dalam menyelesaikan isu dengan pegawai JPA yang mendakwa beliau terlibat dalam kegiatan yang melawan kerajaan.
Pada tahun 1995, Dato’ Nik Amar mengambil keputusan besar untuk meletakkan jawatan dalam tempoh 24 jam bagi memenuhi permintaan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) untuk pulang dan bertanding di Pengkalan Chepa. Walau bagaimanapun, beliau diminta membayar sebanyak RM50,000 kepada UIAM kerana masih mempunyai kontrak perkhidmatan yang berbaki tujuh tahun.
Leave a Reply