
TEMERLOH: PAS diakui sebagai satu-satunya parti yang berjaya melahirkan petugas Muslimat yang berkhidmat dengan penuh keikhlasan tanpa mengharapkan bayaran atau balasan. Hal ini terbukti melalui komitmen tinggi Muslimat PAS yang turun padang menyantuni pengundi dan memberi khidmat kepada masyarakat dengan penuh dedikasi.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Mohd Nor, menyatakan kekagumannya terhadap semangat juang Muslimat PAS ketika merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) Ke-64 di Kompleks Al Makmur, Kerdau, hari ini.
“Muslimat PAS keluar pagi, balik petang, dan kalau ada pengundi yang marah, mereka akan datang semula esoknya, cuma tukar baju dan payung yang sama,” katanya.
Sanusi turut menyatakan rasa syukur dan penghargaan kepada Muslimat yang banyak berkorban, termasuk mereka yang telah meninggal dunia selepas menabur bakti dengan penuh dedikasi. Beliau menyifatkan pengorbanan mereka bukan sahaja mengeratkan hubungan dengan masyarakat, tetapi juga membuktikan keupayaan kepimpinan Muslimat PAS yang luar biasa.
Beliau juga mengimbau sejarah PAS yang membenarkan wanita menjadi calon sejak 1950-an, sebagai satu langkah selari dengan pandangan ulama. Muslimat PAS, katanya, adalah tulang belakang jentera pilihan raya parti itu, dengan tenaga dan kerajinan mereka sering mengatasi petugas lelaki dalam pelbagai tugas kempen.
Dalam sidang media selepas majlis tersebut, Sanusi menjelaskan bahawa PAS terbuka dalam meletakkan calon wanita untuk bertanding di mana-mana kawasan pilihan raya, bergantung kepada keperluan dan kesesuaian setempat.
“Calon Muslimat sentiasa terbuka, tak ada kuota apa-apa. Jika ada keupayaan dan keperluan, PAS sedia beri peluang,” katanya.
Selain itu, Ketua Dewan Muslimat PAS Pengkalan Chepa turut membahaskan usul penting mengenai Penggubalan Akta Baharu iaitu Akta Pembangunan Semula Bandar, yang diusulkan oleh Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor. Usul ini mencerminkan komitmen PAS dalam memperjuangkan pembangunan dan pemulihan bandar secara menyeluruh bagi meningkatkan kesejahteraan masyarakat, khususnya di kawasan bandar yang memerlukan perhatian khas.
Sanusi menegaskan bahawa PAS telah memberi peluang kepada calon wanita di pelbagai negeri, termasuk Kedah, selaras dengan penglibatan aktif Muslimat dalam perjuangan politik parti tersebut.
Leave a Reply