Kebenaran Itu Menuntut Dirinya

Mashitah Fail Saman, Tuntut Maaf Isu Pemerdagangan Manusia

Foto: NSTP / Khairul Azry Bidin

SHAH ALAM: Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim, memfailkan saman terhadap Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) dan dua jawatankuasanya, berhubung kenyataan fitnah yang didakwa mengaitkan dirinya dengan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.

Mashitah, 60, melalui peguam Tetuan Akberdin & Co, menamakan MHO, Setiausaha Agungnya Datuk Hishamuddin Hashim, 45, dan jawatankuasa Azirul Shafiq, 29, sebagai defendan pertama hingga ketiga dalam tuntutan yang difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Isnin lalu.

Dalam tuntutan tersebut, Mashitah menuntut permohonan maaf daripada ketiga-tiga defendan, serta ganti rugi dan injunksi mandatori untuk memadamkan kenyataan dan klip video yang diterbitkan di media sosial dalam tempoh tujuh hari. 

Selain itu, plaintif juga memohon injunksi bagi menghalang defendan-defendan atau wakil mereka daripada terus menerbitkan atau berkongsi sebarang kenyataan yang dianggap berunsur fitnah.

Laporan polis sebelum ini menyatakan bahawa beberapa penulis artikel dari Indonesia sedang dikesan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pembabitan Mashitah dan suaminya dalam sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.

Pada 3 September lalu, pihak polis telah merakam keterangan seorang individu bergelar Datuk Seri bagi membantu siasatan terhadap dakwaan pembabitan ahli politik tempatan dalam sindiket tersebut. Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, lima individu telah dipanggil untuk memberi keterangan, termasuk seorang penulis blog.

Terdahulu, MHO telah menyerahkan laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat dakwaan pembabitan seorang ahli politik bersama suaminya dalam sindiket yang beroperasi di sempadan Myanmar.

Mashitah, dalam satu kenyataan di Facebook, telah menafikan penglibatannya dalam kegiatan pemerdagangan manusia dan menegaskan bahawa beliau telah membuat laporan polis serta memberi keterangan di Bukit Aman bagi membersihkan namanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *