Kebenaran Itu Menuntut Dirinya

Pemuda Pas Beri Amaran Keras: “Kami Rela Mati Perjuangkan Kebenaran!”

Foto: Facebook Pemuda PAS Malaysia

TEMERLOH: Pemuda Pas memberi amaran keras kepada kerajaan bahawa mereka akan turun ke jalanan untuk melakukan protes sekiranya kebebasan bersuara rakyat terus disekat. Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden, menegaskan tindakan ini adalah selari dengan tindakan Pakatan Harapan (PH) semasa menjadi pembangkang, di mana mereka sering mengajak rakyat untuk turun ke jalan bagi menyatakan ketidakpuasan hati terhadap kerajaan ketika itu.

Afnan, yang juga Ahli Parlimen Alor Setar, mengkritik kerajaan sekarang yang didakwanya menggunakan pendekatan zalim untuk menutup mulut rakyat. Beliau menyatakan, “Dulu mereka sanggup tidur di jalan raya untuk bersuara. Kini, setelah diberi kuasa, mereka menjadi penguasa yang zalim, mengunci mulut rakyat dan membalas dendam kesumat.”

Beliau menegaskan bahawa Pemuda Pas tidak akan berdiam diri jika hak kebebasan bersuara terus disekat. Menurutnya, semakin keras usaha kerajaan menutup ruang bersuara, semakin tinggi semangat Pemuda Pas untuk melawan.

“Kami rela mati memperjuangkan kebenaran sehingga beroleh kemenangan. Jangan kamu sangka kuasa ini akan kekal selamanya,” katanya semasa menyampaikan ucaptama pada Muktamar Pemuda Pas ke-65 di Temerloh, Pahang, hari ini.

Afnan turut merujuk kepada laporan Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 yang menunjukkan kedudukan Malaysia jatuh 34 anak tangga, membuktikan bahawa kebebasan media di negara ini semakin disekat di bawah pentadbiran kerajaan Madani.

Beliau menyindir kerajaan sekarang yang dahulunya lantang memperjuangkan kebebasan media dan hak asasi, tetapi kini menggunakan taktik “kuku besi” untuk menghalang suara rakyat. Afnan turut mengingatkan bahawa ramai di kalangan mereka yang kini bersuara pernah sama-sama berjuang di jalanan menentang ketidakadilan pada masa lalu.

“Kami juga pernah turun ke jalan raya bersama mereka, merasai pedihnya gas pemedih mata dan semburan meriam air. Kini, mereka yang dahulunya melaungkan kebebasan, kini menjadi penguasa yang zalim,” tambahnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *