
Ahli Parlimen DAP, Teresa Kok telah mengemukakan tuntutan ganti rugi sebanyak RM25 juta terhadap Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh, susulan dakwaan fitnah berhubung kenyataannya mengenai pensijilan halal. Surat tuntutan tersebut, yang dihantar oleh peguamnya Sankara Nair, memberi Akmal tempoh tujuh hari untuk memberikan respons sebelum tindakan undang-undang diambil.
Kontroversi bermula apabila Kok menegur cadangan kerajaan untuk mewajibkan pensijilan halal bagi restoran yang tidak menghidangkan daging babi dan arak, yang menurutnya, boleh membebankan perniagaan. Sebagai reaksi, Akmal menyelar Kok dengan panggilan menghina “myonya tua” dan mencadangkan agar logo tidak halal dilekatkan di dahinya. Kenyataan itu mencetuskan kecaman ramai kerana dianggap keterlaluan dan berbentuk fitnah.
Teresa Kok, yang merupakan Naib Pengerusi DAP, menegaskan bahawa kenyataannya dibuat berdasarkan tanggungjawab sebagai wakil rakyat untuk menyuarakan kebimbangan masyarakat. Dalam notis tuntutannya, Kok mendakwa kenyataan Akmal menggambarkannya sebagai anti-Islam dan seorang perkauman, selain menjejaskan reputasinya di mata masyarakat.
Kok tidak asing dengan kemenangan dalam kes saman. Pada tahun 2008, beliau memenangi kes saman terhadap bekas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Syed Hamid Albar, setelah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atas tuduhan palsu. Pada 2012, beliau memenangi saman terhadap Utusan Malaysia berkaitan laporan fitnah mengenai isu azan, manakala pada 2009, beliau berjaya dalam kes saman terhadap New Straits Times atas dakwaan tidak berasas. Kok juga pernah menang saman terhadap Datuk Ibrahim Ali (2014) serta NGO Jaringan Melayu Malaysia (2017) atas tuduhan menyalahgunakan dana wakil rakyat.
Dengan sejarah kemenangan dalam kes saman, Kok dilihat berpotensi besar untuk meraih kemenangan sekali lagi dalam tuntutan ini.
Leave a Reply