
Kelantan, yang memiliki potensi besar dalam industri unsur nadir bumi (REE), disarankan segera memeterai kerjasama rasmi dengan Lynas Malaysia. Setelah pengumuman pada Julai 2024, penting bagi kerajaan negeri mengambil langkah proaktif untuk mengelakkan perlombongan haram yang boleh mendatangkan kesan negatif. Potensi ekonomi negeri ini, dianggarkan bernilai RM125 bilion, berpeluang berkembang sekiranya diurus dengan baik dan secara tersusun.
Langkah untuk memeterai kerjasama dengan Lynas wajar dipercepatkan kerana ia akan memberi keyakinan kepada pelabur dan pihak berkepentingan lain. Sebagai sebuah syarikat antarabangsa dengan pengalaman luas dalam pemprosesan dan perlombongan REE, Lynas mampu membawa teknologi canggih yang sangat diperlukan untuk memajukan sektor ini di Kelantan. Pengalaman mereka dalam memastikan proses yang selamat dan mampan dilihat sebagai satu kelebihan yang boleh dimanfaatkan oleh negeri.
Menurut kajian International Energy Agency (IEA), permintaan global terhadap unsur nadir bumi dijangka meningkat sebanyak 12% setiap tahun hingga 2030, terutamanya dalam sektor teknologi hijau dan kenderaan elektrik. Dengan menjalin kerjasama yang sesuai, Kelantan dapat memanfaatkan perkembangan ini serta memperkukuh kedudukan ekonomi negeri. Namun, langkah segera diperlukan untuk mengelakkan aktiviti perlombongan haram daripada berkembang.
Selain Lynas, kerjasama erat dengan kerajaan persekutuan juga amat penting untuk mempercepatkan proses kelulusan perlombongan, termasuk Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA). Dalam pada itu, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dapat memainkan peranan penting dalam menjalankan penyelidikan dan mengembangkan teknologi perlombongan yang lebih cekap dan mesra alam.
Pada masa yang sama, pihak berkuasa disarankan memperketatkan pemantauan di kawasan-kawasan seperti Gua Musang dan Tanah Merah, yang dikenalpasti sebagai kawasan berpotensi tinggi. Langkah ini penting untuk mengelakkan perlombongan haram yang boleh membawa kepada kerugian besar kepada negara dalam bentuk cukai dan pendapatan. Dengan pemantauan yang ketat, hanya entiti sah yang akan dibenarkan menjalankan aktiviti perlombongan.
Kelantan juga disarankan mencontohi negara-negara maju dalam pengurusan sumber nadir bumi, dengan memastikan semua aktiviti dijalankan secara lestari. Ini termasuk mengurangkan risiko pencemaran melalui penggunaan teknologi terkini dan lebih selamat.
Dalam membangunkan industri REE di Kelantan, terdapat cadangan daripada pakar-pakar profesional bahawa PKINK (Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan) perlu memainkan peranan yang lebih besar dalam mengetuai usaha ini. PKINK disarankan menjadi penyelaras utama, memandangkan mereka mempunyai pengalaman yang lebih luas, termasuk kerjasama dengan CNMC Goldmine dan beberapa entiti lain. Memastikan pengurusan projek perkhidmatan berkaitan kawasan industri bernilai tinggi seperti pusat data dan sektor semikonduktor berjalan secara lebih berkesan dan berstruktur.
Selain itu, PMBK (Perbadanan Menteri Besar Kelantan) boleh memberi fokus kepada sektor minyak dan gas serta pelabuhan pengkalan bekalan. Penglibatan kedua-dua entiti ini dengan peranan yang berbeza dapat membantu memacu pembangunan industri di Kelantan secara lebih holistik dan berkesan.
Di bawah SG4, terdapat juga kluster baru yang berfokus pada sumber pendapatan baru. Sinergi antara peranan PMBK dan PKINK adalah penting untuk merangsang pertumbuhan ekonomi Kelantan. Melalui pendekatan ini, Kelantan berpotensi menjadi peneraju dalam sektor ini jika tindakan diambil segera.
Leave a Reply