Kebenaran Itu Menuntut Dirinya

GISBH Nafi Tuduhan, Polis Dedah Kanak-Kanak Diliwat di Premis Mereka

Foto: PDRM / Astro Awani

Global Ikhwan Services and Business Berhad Holdings (GISBH) menegaskan dakwaan terhadap mereka sebagai fitnah dan tohmahan berniat jahat, walaupun Ketua Polis Negara Razarudin Husain mendedahkan hasil siasatan PDRM yang mengaitkan syarikat tersebut dengan pelbagai jenayah serius.

Dalam kenyataan rasmi, GISBH menafikan tuduhan mengeksploitasi kanak-kanak sebagai tenaga kerja dan menyatakan mereka mematuhi undang-undang sepenuhnya. Syarikat itu menyifatkan dakwaan tersebut sebagai prasangka dan berdoa agar fitnah ini segera dinoktahkan. Mereka turut menegaskan kesediaan untuk bekerjasama dengan pihak berwajib dalam menyelesaikan isu tersebut.

Namun, pada hari yang sama, Razarudin mendedahkan bahawa polis telah menyerbu beberapa premis GISBH di Selangor dan Negeri Sembilan, menyelamatkan 402 kanak-kanak dan menahan 171 suspek yang didakwa terlibat dalam jenayah amang seksual, termasuk liwat. Menurut Razarudin, risikan menunjukkan kanak-kanak tersebut diajar meliwat dan dipaksa melakukan perbuatan itu terhadap sesama mereka.

GISBH bagaimanapun tidak menyentuh langsung mengenai dakwaan terbaru polis ini, sebaliknya menumpukan pada kenyataan bahawa mereka menjadi mangsa fitnah dan prasangka. 

Dengan siasatan masih berjalan, kenyataan dari PDRM ini memberi tekanan besar kepada GISBH, yang kini perlu berdepan dengan cabaran membuktikan mereka tidak terlibat dalam aktiviti haram seperti yang dinyatakan oleh pihak polis. Hasil siasatan akan menjadi penentu sama ada tuduhan ini sekadar fitnah atau ada asas kukuh di sebaliknya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *