
PETRA JAYA: Sarawak bakal menjadi tuan rumah Persidangan Speaker-Speaker SeMalaysia 2024 yang akan berlangsung dari 11 hingga 14 September di Hotel Pullman, Kuching. Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Awang Asfia Awang Nassar, memaklumkan bahawa persidangan ini bertujuan memperkasa institusi Speaker dengan membincangkan isu-isu penting dalam demokrasi berparlimen.
Sebelum persidangan di Sarawak, Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Dr. Johari Bin Abdul, telah mengadakan lawatan pada 11 Ogos 2024 ke Kelantan, negeri pertama yang dilawati bagi Zon Pantai Timur.
“Sarawak pernah menjadi tuan rumah persidangan ini pada 1972, 1983, dan kali terakhir pada 1996. Selepas 28 tahun, kita sekali lagi diberi penghormatan menjadi tuan rumah pada tahun ini,” ujar Tan Sri Awang Asfia dalam sidang media di DUN Sarawak.
Persidangan kali ini akan dihadiri oleh 42 delegasi yang terdiri daripada 15 Speaker, 14 Timbalan Speaker, seorang Ketua Pentadbiran Parlimen, dan 12 Setiausaha Dewan dari Dewan Negara, Dewan Rakyat, dan DUN seluruh negara. Objektif utama adalah untuk menyediakan platform bagi para Speaker bertukar pandangan mengenai cabaran yang dihadapi institusi parlimen dan dewan undangan negeri.
Yang Di-Pertua Dewan Negara, Senator Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah, akan membentangkan kertas kerja mengenai persoalan kuasa Dewan Negara, manakala Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, akan membentangkan topik pengukuhan demokrasi berparlimen melalui penglibatan awam yang progresif. Tan Sri Awang Asfia sendiri akan membincangkan mengenai pindaan kepada peraturan mesyuarat DUN.
“Peranan Speaker sebagai penjaga perlembagaan dan pelindung proses demokrasi harus diperkukuhkan bagi mengelakkan kelemahan dalam sistem parlimen kita,” tegas Tan Sri Awang Asfia.
Sementara itu, Dato’ Sri Amar D’Raja Speaker Dewan Negeri Kelantan telah mengesahkan kehadirannya dalam persidangan tersebut ketika ditanya oleh wartawan. Kehadiran beliau menambah kepada sokongan delegasi dari seluruh negara, yang akan berkumpul untuk bersama-sama membincangkan cabaran dan memperkukuhkan institusi demokrasi di Malaysia.
Persidangan ini tidak akan membincangkan isu persempadanan semula DUN Sarawak, yang menurut Tan Sri Awang Asfia, hanya akan dibahas di dalam persidangan DUN Sarawak.
Leave a Reply