Kebenaran Itu Menuntut Dirinya

Liqa’ Fikri PAS Setiu: Dato’ Sri Amar D’Raja Tegas Bahaya Pemikiran Liberal dan Sekularisme

SETIU: Liqa’ Fikri PAS Kawasan Setiu yang diadakan di Kompleks Tarbiyah Luqmanul Hakim, Setiu, menyaksikan pembentangan oleh Naib Presiden PAS, Yang Berhormat Mulia Dato’ Sri Amar D’Raja Ustaz Dato’ Mohd Amar bin Abdullah, yang menekankan ancaman pemikiran liberal dan sekularisme yang semakin menular dalam masyarakat.

Program ini turut dihadiri oleh beberapa orang pimpinan negeri, termasuk Ketua Lajnah Tarbiah PAS Terengganu, Yang Berhormat Ustaz Dato’ Mohd Nor bin Hamzah, dan Ahli Parlimen Setiu, Yang Berhormat Ustaz Shaharizukirnain Abd Kadir, yang turut serta memberikan sokongan dan membuat pembentangan.

Dalam ucapannya, Dato’ Sri Amar menegaskan bahawa pemikiran liberal dan sekular yang diimport dari Barat semakin menggugat prinsip dan ajaran Islam yang sebenar. “Tamadun Barat tidak merujuk kepada sumber ajaran Islam. Mereka mempromosikan pemikiran bebas yang tidak berlandaskan syariat, dan ini menimbulkan ancaman besar kepada umat Islam,” katanya.

Dato’ Sri Amar juga mengkritik tokoh-tokoh yang didakwa membawa pendekatan Islam tanpa syariat seperti di Türkiye dan juga dalam negara. Menurut beliau, pemikiran Islam seperti ini merosakkan asas akidah dan mencairkan kefahaman sebenar terhadap Islam.

Mengulas lanjut, Dato’ Sri Amar menjelaskan bahawa isu pemikiran bebas dan sekularisme ini tidak boleh dianggap remeh. “Jika kita lihat, konsep pemikiran Islam yang moderat tanpa asas syariat sebenarnya bertentangan dengan ajaran Islam yang murni. Ini bukan soal perbezaan pendapat, tetapi soal mempertahankan kesucian ajaran Islam,” tambah beliau.

Dato’ Sri Amar turut mengingatkan tentang pandangannya yang diutarakan 20 tahun lalu bahawa umat Islam di Malaysia akan berdepan dengan cabaran besar dalam pertembungan ilmu. “Hari ini, kita melihat realiti itu sedang berlaku. Umat Islam, terutama generasi muda, perlu bersedia dengan ilmu dan kefahaman Islam yang sahih untuk berhadapan dengan serangan ideologi ini,” ujar beliau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *