Kebenaran Itu Menuntut Dirinya

Premis Hiburan di Kota Bharu Diserbu: KPDN Kelantan Sita Peralatan Bernilai RM11,800

Foto: KPDN Kelantan / TikTok

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan telah bertindak menyita pelbagai peralatan elektronik karaoke bernilai RM11,800 dalam satu operasi penguatkuasaan di sebuah premis hiburan di Wisma TCH, Jalan Kebun Sultan, Kota Bharu, malam tadi. Lokasi ini merupakan bangunan yang dahulunya pernah menjadi cawangan operasi CIMB.

Operasi yang dijalankan sekitar jam 9 malam itu dilakukan hasil daripada aduan wakil pemilik hak cipta mengenai kegiatan premis yang didapati menggunakan karya hak cipta untuk aktiviti perniagaan tanpa kebenaran. Serbuan ini melibatkan kerjasama antara KPDN Kelantan, Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, dan wakil pemilik hak cipta. 

Pemeriksaan lanjut di premis tersebut menemui peralatan karaoke yang mengandungi salinan langgaran rakaman filem, bunyi, dan lagu. Antara barangan yang disita termasuk set karaoke, cakera keras, monitor, penguat suara, penerima mikrofon, dua mikrofon, televisyen, kabel sambungan, pembesar suara, suis penyesuai, tetikus, dan 7 salinan langgaran karya rakaman bernilai kira-kira RM11,800. 

Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail, mengesahkan bahawa kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) (d) Akta Hak Cipta 1987. Beliau menambah bahawa serbuan ini adalah hasil daripada intipan selama seminggu oleh pihak KPDN Kelantan, dan premis tersebut didapati telah beroperasi selama enam bulan.

Paparan video yang diperoleh semasa serbuan turut memperlihatkan keberadaan minuman keras di dalam premis tersebut. Selain itu, terdapat tanda amaran di premis tersebut yang menyatakan bahawa “Orang Islam Dilarang Masuk.”

Jika sabit kesalahan, pelaku boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM2,000 dan tidak lebih daripada RM20,000 bagi setiap salinan langgaran atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

KPDN Kelantan turut mengingatkan semua pengusaha yang menggunakan karya hak cipta untuk tujuan perniagaan agar memohon kelulusan daripada pemilik hak cipta bagi mengelakkan tindakan tegas di bawah Akta Hak Cipta 1987.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *