Kebenaran Itu Menuntut Dirinya

MB Kedah Akui Berpoligami, Isteri Pertama Urus Proses Pinangan

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, mengesahkan bahawa beliau kini berpoligami dan pernikahan dengan isteri keduanya berjalan lancar dengan usaha dan inisiatif yang diambil oleh isteri pertamanya, Jusmalailani Jusoh.

Sanusi menceritakan bahawa proses pernikahan itu bermula beberapa bulan lalu dan semua langkah diambil mengikut peraturan yang ditetapkan. Dalam pengakuannya, beliau menyatakan, “Saya ingin maklumkan bahawa saya telah berkahwin dengan seorang pegawai polis, dan pinangan itu dilakukan oleh isteri pertama saya beberapa bulan lepas.”

Beliau turut berkongsi bahawa majlis pernikahan tersebut berlangsung dengan sempurna dan teratur. “Pada hari pinangan dan perkahwinan, isteri pertama saya hadir bersama anak-anak. Semua proses yang diperlukan untuk perkahwinan tersebut telah dipatuhi, jadi tidak timbul sebarang isu,” tambahnya.

Berita mengenai perkahwinan kedua Sanusi mula tular sebelum ini, namun tidak ada pengesahan rasmi daripada mana-mana pihak. Sanusi sendiri sebelum ini hanya memberi kenyataan secara tidak langsung apabila ditanya mengenai status perkahwinannya.

Namun, semasa bercakap kepada media di Kuala Nerang hari ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu menjelaskan bahawa beliau pada awalnya memilih untuk tidak memberi sebarang kenyataan bagi mengelak isu tersebut menjadi sensasi.

“Pada awalnya, saya tidak mahu cerita hal ini sebab tidak mahu ia disensasikan. Tapi bila saya lihat hangpa (wartawan) sibuk mencari pengesahan, saya kesian tengok hangpa. Jadi hari ini, saya maklumkan,” jelasnya.

Sanusi turut berseloroh mengenai status perkahwinannya dengan berkata, “Saya rasa tidak ada isu apa-apa, saya masih ada kuota dua lagi.”

Berita ini telah menjadi perhatian ramai, khususnya kerana peranan isteri pertama yang menjadi perantara dalam proses meminang untuk perkahwinan kedua suaminya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *