Kebenaran Itu Menuntut Dirinya

Tuan Ibrahim Serang Zahid, Pemuda UMNO Tuntut Keadilan Sama Rata!

Foto: M Firdaus M Johari / Utusan

Pemuda UMNO mempersoalkan tindakan PAS mengenai status Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, dan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, yang sedang menghadapi kes mahkamah dan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh, menuntut penjelasan daripada PAS sama ada kedua-dua pemimpin tersebut patut diberi cuti atau tidak.

Kenyataan ini muncul sebagai respon terhadap cadangan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, yang mencadangkan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, untuk bercuti bagi memudahkan siasatan bebas terhadap dirinya dijalankan sehingga selesai.

Dr. Akmal Saleh, melalui hantaran di Facebook, mengemukakan persoalan: “Sebelum minta Dato’ Seri Zahid Hamidi dicutikan, tak nak minta MB Kedah dan MB Perlis dicutikan juga ke? Masing-masing pun ada kes yang disiasat dan sedang didakwa di mahkamah.”

Tuan Ibrahim sebelum ini menyatakan keterbukaan Zahid dalam menghadapi siasatan susulan laporan polis yang dibuat oleh Pemuda Bersatu, yang mendakwa Zahid memperdaya dan mengelirukan Yang di-Pertuan Agong. Bagaimanapun, beliau berpendapat bahawa siasatan sepenuhnya tidak boleh dijalankan jika seseorang itu masih memegang jawatan.

Tuan Ibrahim juga mempersoalkan hasil daripada siasatan tersebut, merujuk kepada 47 kes rasuah terhadap Zahid yang telah ditarik balik. Mengulas lanjut, Dr. Akmal mempertikaikan desakan PAS yang meminta pemimpin kerajaan direhatkan, tetapi tidak terhadap pemimpin mereka yang menghadapi situasi serupa. “Kat orang lain boleh tetapi dekat geng sendiri tak boleh?” soalnya.

Sanusi, pada 18 Julai 2023, didakwa di bawah Akta Hasutan 1948 kerana kenyataan yang didakwa berunsur hasutan terhadap tindakan Sultan Selangor dalam melantik Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor. Kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk dibicarakan. Jika didapati bersalah, beliau berdepan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Manakala Mohd Shukri pula ditahan SPRM di Putrajaya selama sembilan jam pada Mei lalu untuk memberi keterangan berhubung dakwaan salah guna kuasa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *