Kebenaran Itu Menuntut Dirinya

Pemimpin PAS Pertahan Guna Beg Mewah Selepas Dakwa ‘Rakyat Mati Kelaparan’

Seorang pemimpin PAS mempertahankan dirinya selepas dikecam kerana dilihat membawa beg tangan mewah Louis Vuitton (LV) dalam satu kenyataan yang mendakwa rakyat Malaysia mati kelaparan akibat kekurangan bekalan beras tempatan di bawah kerajaan Madani.

Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Melaka, Hawa Yaakub, menjadi sasaran kritikan selepas laman parodi, Harakatdaily, memuat naik gambarnya membawa beg tangan LV, dengan dakwaan kononnya dia sanggup menjual beg tersebut demi membantu rakyat yang memerlukan. Dalam ciapannya di platform X, Hawa menempelak penyokong kerajaan yang menjawab semua isu yang dibangkitkan dengan merujuk kepada beg tangannya.

“Sampai berapa tahun lagi anda nak jawab semua isu dengan LV? Kenaikan harga diesel – LV, rakyat mati kelaparan – LV, kekurangan beras tempatan – LV, Blackrock – LV, afterparty – LV, bir Tiger – LV,” katanya. Hawa juga menyindir bahawa beg tangannya lebih murah berbanding helikopter dan kereta Bentley, merujuk kepada tindakan pemimpin BN menaiki helikopter ke Nenggiri semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) baru-baru ini, serta Perdana Menteri Anwar Ibrahim menaiki kereta Bentley yang disediakan oleh kerajaan Sarawak.

Tidak Guna Duit Rakyat

Kenyataan Hawa mengenai kematian akibat kelaparan dikritik hebat oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, yang menyifatkannya sebagai melampau dan kurang cerdik. Beliau turut menggesa Hawa menyerahkan senarai rakyat yang memerlukan bantuan.

Mengulas lanjut mengenai isu beg tangan LV tersebut, Hawa menegaskan bahawa laman parodi Harakatdaily hanya memanfaatkan populariti PAS dengan menggunakan nama yang hampir sama dengan lidah rasmi parti, Harakahdaily. Beliau juga menambah bahawa beg tersebut dibeli oleh seseorang yang tidak menggunakan duit pembayar cukai.

“Apa yang paling penting adalah orang yang belinya tak guna duit pembayar cukai,” tegasnya, menjawab kritikan yang dilontarkan tanpa mengetahui latar belakang sebenar pembelian beg itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *