
KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga India beragama Hindu, yang hampir menjadi mangsa lubang benam (sinkhole) dalam insiden di Jalan Masjid India pada Jumaat lalu, kini telah memeluk agama Islam.
Haridath atau Kandass, 48, mengambil keputusan untuk memeluk Islam selepas merasakan bahawa Tuhan melindunginya daripada bencana tersebut. Keputusan ini dibuat dengan segera selepas insiden itu meyakinkannya tentang kewujudan kuasa yang lebih besar yang ingin menyelamatkannya.
Menurut perkongsian di Facebook oleh halaman Dunia Info Kini, Haridath, yang kini dikenali sebagai Harizan, telah melafazkan syahadah di Pejabat Agama Islam Wilayah dengan diiringi dua rakannya. Selepas itu, beliau terus ke Pejabat Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) di Masjid Negara untuk melengkapkan proses pengislamannya dalam bahasa Inggeris.
“Dengan hidayah yang Allah S.W.T berikan, Harizan segera memeluk Islam pada hari Jumaat tersebut. Masya-Allah, kami semua terharu dengan perubahan hidupnya,” tulis halaman Facebook tersebut.
Harizan, yang hidup sendirian, berasa sangat terharu dengan pilihannya dan pihak ABIM turut gembira dengan keputusannya memeluk Islam. Menurut halaman Facebook itu lagi, seorang ustaz menyatakan bahawa peristiwa ini membenarkan firman Allah dalam surah Al-Mulk, ayat 16, yang bermaksud: “Sudah berasa amankah kamu, bahawa Dia yang di langit tidak akan membuat kamu ditelan bumi ketika tiba-tiba ia tergoncang?”
Dalam tragedi lubang benam di Jalan Masjid India pada Jumaat lalu, seorang pelancong wanita dari India, Vijayaletchumy, 48, terjatuh ke dalam lubang sedalam lapan meter dan sehingga kini masih belum ditemui. Harizan, yang juga terperangkap dalam kejadian tersebut, berjaya menyelamatkan diri dengan berpaut sebelum terjatuh ke dalam lubang benam itu, berbeza dengan nasib malang yang menimpa Vijayaletchumy.
Leave a Reply