
KUALA SELANGOR – Seorang lelaki warga Pakistan dilaporkan maut akibat renjatan elektrik di tapak karnival makanan yang terletak di belakang sebuah pasar raya di sini, pada Selasa.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintenden Mohd Ambia Nordin, memaklumkan bahawa mangsa, berusia 32 tahun, meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurutnya, pihak polis menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada sekitar jam 8.50 malam. Hasil siasatan awal mendapati mangsa dan seorang rakan berada di tapak karnival ketika hujan lebat.
“Rakan mangsa memaklumkan bahawa lelaki tersebut memegang besi khemah salah satu gerai di karnival berkenaan, menyebabkan berlakunya renjatan elektrik yang mengakibatkannya terjatuh. Mangsa kemudian dibawa ke pentas utama karnival untuk mendapatkan bantuan awal,” kata Mohd Ambia ketika dihubungi pada Rabu.
Tambah beliau, sebaik tiba di tempat kejadian, polis mendapati mangsa terbaring di atas pentas utama dan telah disahkan meninggal dunia.
Mayat mangsa telah dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Tanjong Karang untuk proses bedah siasat. Hasil bedah siasat mengesahkan bahawa punca kematian adalah akibat renjatan elektrik, dan tiada sebarang tanda-tanda jenayah ditemui.
Leave a Reply