Kebenaran Itu Menuntut Dirinya

Rosli Jabar Bawa Nafas Baru PAS Pahang ke Mesyuarat Agung PAS Kawasan Pengkalan Chepa Ke-53

KUALA LUMPUR – Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Rosli Abdul Jabar terus menghangatkan gelanggang politik apabila menyifatkan reaksi segelintir pemimpin dan penyokong UMNO sebagai “bagai dirasuk syaitan dan kepanasan” setiap kali terdengar slogan ‘PAS Teraju Pahang’. Ungkapan tersebut merujuk kepada serangan balas berbaur penghinaan yang diterimanya susulan hantaran bertajuk Impian Yang Sedang Bergerak yang dimuat naik di Facebook beberapa hari lalu.

“Apabila saya post tajuk ‘Impian Yang Sedang Bergerak’, ramai rakyat Pahang memberikan respons positif dan berkongsi impian sama. Tapi peliknya, kalimah ‘Teraju Pahang’ seakan badai kepada kapal lawan. Terpacul keluar segala bentuk celaan, seolah-olah dibacakan ayat al-Quran kepada yang dirasuk syaitan,” katanya dalam kenyataan di Kuantan.

Rosli menjelaskan bahawa gerak kerja PAS Pahang untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negeri bukan sekadar angan-angan, sebaliknya satu cita-cita besar yang sedang digerakkan dengan penuh kesungguhan, doa dan tawakal. Menurutnya, usaha PAS bukan bersifat bermusim, sebaliknya berjalan tanpa henti demi memastikan perubahan yang diidamkan rakyat benar-benar menjadi kenyataan.

Mengulas tohmahan kononnya tiada tokoh PAS Pahang yang layak sebagai Menteri Besar, beliau menempelak sikap angkuh UMNO yang sering meremehkan kelayakan pihak lain. Beliau memberi peringatan bahawa Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz dahulu turut diragui, namun berjaya membuktikan keupayaan sehingga kerajaan Kelantan kekal diterajui PAS lebih tiga dekad.

“Kalau Tok Guru dikatakan tak pandai perintah, MB Kedah, Perlis, Terengganu pun bukan lulusan agama, tetap dihina juga. Maknanya asal bukan UMNO, semuanya dianggap tidak layak. Rakyat Pahang tidak sebodoh itu,” tegasnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa pentadbiran PAS bukan bergantung kepada tokoh perseorangan, tetapi kekuatan sebuah pasukan jamaah yang tersusun dan bersedia mengambil amanah jika diberi mandat.

Dalam perkembangan terbaru, Ustaz Rosli Abdul Jabar akan merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Pengkalan Chepa Kali Ke-53 yang dijadual berlangsung pada 28 Jun 2025 di Dewan PUTIK, Pengkalan Chepa. Kehadiran beliau ke pusat gerakan politik Islam Kelantan itu dilihat sebagai isyarat kesatuan perjuangan rentas negeri yang semakin utuh dan tersusun menjelang pilihan raya akan datang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *