
TEHERAN – Dalam satu langkah dramatik dan luar jangka, Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei dikatakan telah menamakan tiga tokoh agama kanan sebagai calon penggantinya jika beliau terbunuh dalam perang yang semakin panas dengan Israel.
Laporan eksklusif oleh The New York Times memetik sumber tiga pegawai Iran yang mengetahui rancangan darurat ini, mengesahkan bahawa senarai tersebut disediakan atas ancaman semasa yang dianggap sangat serius oleh Khamenei, yang kini berusia 86 tahun. Lebih mengejutkan, anak lelaki beliau, Mojtaba Khamenei yang merupakan seorang ulama berpengaruh dan rapat dengan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) tidak tersenarai sebagai calon pengganti meskipun sebelum ini disebut-sebut sebagai waris utama.
Identiti tiga calon itu masih dirahsiakan, namun pemilihan ini dilihat sebagai langkah strategik bagi memastikan kelangsungan pemerintahan dan kestabilan teokratik negara melalui Majlis Pakar jika berlaku kematian mengejut.
Menurut laporan Iran International yang disiarkan sebelum ini, Khamenei kini ditempatkan di sebuah bunker rahsia di Lavizan, timur laut Tehran bagi mengelak risiko serangan udara yang terus menyasarkan lokasi strategik tentera dan nuklear Iran. Difahamkan, ahli keluarga rapat termasuk Mojtaba turut berada di lokasi perlindungan tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, Khamenei juga dilaporkan telah memindahkan sebahagian kuasa penting kepada Majlis Tertinggi Pengawal Revolusi sebagai pelan kontingensi bagi memastikan keputusan kritikal negara tidak tergendala sekiranya beliau lumpuh atau terbunuh.
Langkah ini mencerminkan situasi genting dan kecemasan sebenar yang kini melanda pimpinan tertinggi republik Islam itu ketika ancaman dari luar dan tekanan dalaman bertembung dalam medan yang makin membara.
Leave a Reply