Kebenaran Itu Menuntut Dirinya

Khairy Jamaluddin Kembali ke Kabinet?

Foto: Mukhriz Hazim | MK

Spekulasi berhubung kemungkinan kemasukan semula Khairy Jamaluddin ke dalam kabinet Kerajaan Perpaduan mencetuskan gelombang reaksi politik dan memperbaharui perdebatan tentang hala tuju reformasi negara.

Khairy, yang sebelum ini digugurkan daripada UMNO pada Januari 2023 selepas bertelagah secara terbuka dengan Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, kini disebut-sebut akan kembali ke pentas eksekutif negara, sama ada sebagai menteri atau tokoh teknokrat pilihan Perdana Menteri.

Perjalanan politiknya bukan tanpa liku. Selepas dipindahkan dari kerusi selamat Rembau ke kawasan majoriti PH di Sungai Buloh pada PRU-15, beliau tewas tipis kepada calon PKR, R Ramanan. Kekalahan itu dilihat sebagai penutup tirai kepada satu era, namun langkah-langkah pasca PRU menyaksikan beliau membina semula pengaruh di luar politik arus perdana, termasuk menerajui media dan forum awam.

Menurut Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia, kemunculan semula Khairy ke dalam kabinet boleh dibaca sebagai usaha kerajaan memperluas tapak sokongan melalui pendekatan inklusif, pragmatik dan menekankan merit.

“Khairy bukan sekadar bekas menteri. Beliau mempunyai pengaruh media, daya tarikan kepada pengundi bandar dan golongan muda, serta dilihat progresif dan dinamik,” kata beliau.

Namun, beliau turut memberi peringatan bahawa penglibatan semula Khairy menuntut kesediaan dari kalangan pemimpin UMNO untuk melihatnya bukan sebagai ancaman, tetapi sebagai rakan seperjuangan yang mampu menjambatani jurang dalaman parti.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan O2 Research Malaysia, Anis Anwar menyifatkan sebarang lantikan Khairy mesti dilihat lebih daripada sekadar penyelesaian ad-hoc menggantikan kekosongan sedia ada seperti yang ditinggalkan Tengku Zafrul Abdul Aziz.

“Jika sekadar pengisian sementara, mesej reformasi tidak akan sampai. Namun jika beliau diletakkan dalam posisi utama dan diberikan ruang untuk menyerlah, ia boleh menjadi lonjakan imej buat UMNO mahupun kerajaan Madani,” ujar Anis.

Namun beliau turut mengingatkan, sekiranya berlaku percanggahan hala tuju atau konflik dasar, rakyat berkemungkinan cenderung menyebelahi Khairy yang mempunyai rekod keterbukaan dan kritikan membina.

Pemerhati juga tidak menolak kemungkinan sejarah akan berulang. Sepertimana Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi yang ‘terpinggir’ seketika selepas menyokong kem Tengku Razaleigh Hamzah, namun akhirnya dilantik sebagai Perdana Menteri, Khairy kini dilihat berada di ambang kemunculan semula yang dramatik.

Persoalannya, adakah ini peluang sebenar untuk membawa masuk tenaga baharu ke dalam kabinet demi memperkukuh dasar reformasi, atau sekadar satu lagi perjudian politik yang bakal mengundang risiko pertembungan dalam blok kuasa sedia ada?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *