
Mekah — Di tengah jutaan jemaah yang melimpah ke Tanah Suci saban musim haji dan umrah, satu amalan kecil tapi sarat makna sering dipandang ringan oleh sebahagian jemaah lelaki iaitu tahalul dengan mencukur rambut sehingga licin.
Namun, bagi mereka yang mendalami sabda Rasulullah SAW, perbuatan ini bukan sekadar simbol keluar dari ihram, malah menjadi punca limpahan doa rahmat baginda sendiri. Maksud hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim menyebut dengan jelas:
“Ya Allah, rahmatilah mereka yang mencukur botak.” Para sahabat bertanya: “Dan orang yang memendekkan rambut, wahai Rasulullah?” Baginda mengulangi: “Ya Allah, rahmatilah mereka yang mencukur botak.” Hingga kali ketiga Nabi mengulangi, dan hanya pada kali keempat baginda bersabda: “Dan (juga) orang yang memendekkan rambut.”
(Riwayat Bukhari 1727, Muslim 1303)
Doa yang diulang sebanyak tiga kali khusus untuk yang mencukur botak (halq) berbanding hanya sekali untuk yang memendekkan rambut (taqsir), adalah isyarat jelas betapa besarnya ganjaran bagi mereka yang sanggup menundukkan ego dan meninggalkan gaya demi redha Ilahi.
Imam Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini menegaskan, kelebihan mencukur botak menunjukkan penyempurnaan dalam membebaskan diri dari larangan ihram serta melambangkan kehinaan diri di hadapan Allah.
Justeru, bagi para jemaah lelaki, khususnya yang baru selesai saie, satu seruan ikhlas perlu dititipkan, janganlah terburu-buru memotong sehelai dua rambut di dalam Masjidil Haram sekadar untuk menyempurnakan rukun. Benar, tahalul sah dengan hanya beberapa helai, tetapi sabarlah sedikit. Keluar dahulu dari masjid, cari tukang gunting, dan cukurlah keseluruhan kepala.
Perlu difahami, sekiranya cukur penuh dilakukan selepas memotong sedikit rambut awalnya, ia tidak lagi dikira sebagai tahalul.
Inilah peluang yang mungkin datang hanya sekali seumur hidup. Jangan tukarkannya dengan keinginan bergaya atau sekadar ingin cepat selesai. Tahalul adalah lambang tunduk, pengorbanan, dan kecintaan kepada sunnah.
Leave a Reply